Jika anda pengguna GXBank, anda mungkin akan melihat ciri baharu pada aplikasi yang dipanggil Cyber Fraud Protect. Dikuasakan oleh platform Zurich Edge, ciri baharu ini diwujudkan sebagai produk insurans digital untuk melindungi rakyat Malaysia daripada pemindahan atas talian tanpa kebenaran.
Dalam kerjasama baharu antara Zurich dan GXBank, Cyber Fraud Protect menawarkan perlindungan untuk kerugian kewangan daripada mana-mana akaun bank tempatan, e-dompet, kad kredit atau debit. Anda boleh melihat tiga pelan yang ditawarkan dalam aplikasi seperti Basic (RM1/bulan), Plus (RM2/bulan) atau Pro (RM4/bulan).


Jika anda memilih pelan Basic, anda boleh menuntut kembali kerugian sehingga RM2,500 sebulan atau RM5,000 setahun. Selepas memilih pelan, anda perlu mengesahkan alamat e-mel untuk menerima semua maklumat penting berkaitan dasar dan mengesahkan butiran pelan yang dipilih termasuk syarat perlindungan serta pecahan premium.
Kemudian, luluskan transaksi melalui GXSecure dan polisi akan diaktifkan serta-merta. Butiran perlindungan akan tersedia dalam aplikasi dan sijil insurans akan dihantar melalui e-mel. Bayaran bulanan kemudiannya akan ditolak secara automatik daripada akaun GXBank pelanggan. Untuk maklumat lanjut mengenai Cyber Fraud Protect, anda boleh klik di sini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







