Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan akan menggunakan RM10 juta untuk membina stadium e-sukan baharu. Jumlah wang tersebut akan diambil daripada keseluruhan RM20 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan ekosistem e-sukan, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025.
Ia bertujuan untuk menyokong pembangunan industri e-sukan negara pada masa hadapan. Baki RM10 juta daripada peruntukan RM20 juta itu pula akan digunakan untuk latihan dan aktiviti lain berkaitan e-sukan.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa Sarawak telah pun mengambil langkah kehadapan dengan membina Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) untuk membangunkan bakat e-sukan dalam negeri tersebut. Beliau juga memberi contoh kepada beberapa individu di Johor yang berjaya menjadikan e-sukan sebagai kerjaya.
Industri e-sukan boleh dikembangkan melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjaya seperti kewartawanan, pengulas perlawanan, penerbitan, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja-kerja teknikal. Ia juga mempunyai Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus.
Baru-baru ini, industri e-sukan negara mencatatkan kejayaan antarabangsa yang cemerlang dalam beberapa pertandingan popular, seperti Selangor Red Giants yang memenangi Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Mid Season Cup (MSC) di Riyadh, Arab Saudi pada bulan Julai lalu serta Black Shrew Esport (BSE) yang menjuarai Honor of Kings Championship 2024 di Indonesia pada Julai lalu.
Dengan kejayaan-kejayaan terbaru ini, ia mungkin akan mendorong lebih ramai anak muda untuk menceburi e-sukan. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA







