HUAWEI melancarkan tablet andalan terbaharunya, MatePad Pro 13.2 (2025) pada acara pelancaran yang turut memperkenalkan siri Mate 70, HUAWEI Watch Ultimate Design dan telefon boleh lipat Mate X6. Tablet ini hadir dengan peningkatan skrin, prestasi dan ciri kreatif untuk pengguna profesional.
MatePad Pro 13.2 menawarkan skrin OLED fleksibel 13.2 inci dengan resolusi 2.8K, kadar segar semula 144Hz dan nisbah skrin-ke-badan 94%. HUAWEI turut menyediakan PaperMatte Edition dengan permukaan anti-silau menyerupai kertas. Tablet ini dilengkapi stylus M-Pencil generasi ke-3 yang menawarkan input rendah latensi dan ketepatan tinggi.


Dilengkapi ciri Fangtian Painting Engine 2.0, tablet ini menyokong kanvas 8K dengan lebih 500 lapisan membolehkan proses yang lancar pada kadar 120 fps. Baterinya menggunakan sistem dwi-sel dengan kapasiti 10,100mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W Turbo. Ia boleh mencapai 85% dalam 40 minit dan pengecasan penuh dalam 55 minit.
MatePad Pro 13.2 mempunyai kamera utama 13MP, kamera sudut lebar 8MP dan kamera depan 16MP. Untuk sambungan, ia menampilkan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, GPS dan komunikasi satelit dwi untuk operasi yang stabil walaupun di lokasi terpencil. Terdapat tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan emas.

HUAWEI MatePad Pro 13.2 (2025) ditawarkan dalam beberapa varian dengan harga berikut:
- PaperMatte Edition 12/256GB: 5,799 yuan (~RM3,554)
- PaperMatte Edition 12/512GB: 6,299 yuan (~RM3,861)
- PaperMatte Edition 16/1TB: 7,599 yuan (~RM4,658)
- Versi standard 12/256GB: 5,199 yuan (~RM3,186)
- Versi standard 12/512GB: 5,699 yuan (~RM3,493)
- HarmonyOS NEXT Pioneer Edition 12/512GB: 6,299 yuan (~RM3,861)
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan HUAWEI MatePad Pro 13.2 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: HUAWEI







