Syarikat pemula dari China, DeepSeek, mengumumkan bahawa model kecerdasan buatan (AI) terbaharu Janus-Pro-7B telah mengatasi model popular seperti DALL-E 3 daripada OpenAI dan Stable Diffusion daripada Stability AI dalam penarafan penjanaan imej menggunakan arahan teks.
Laporan teknikal telah diterbitkan yang menunjukkan peningkatan besar dalam prestasi model baharu ini. Janus-Pro-7B merupakan peningkatan daripada model sebelumnya, Janus, yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu. Menurut laporan, model baharu ini menawarkan imej yang lebih stabil dan terperinci berbanding pesaingnya.

DeepSeek menyatakan peningkatan ini dicapai melalui proses latihan yang lebih baik, peningkatan kualiti data dan saiz model yang lebih besar. Model Janus-Pro-7B menggabungkan 72 juta imej sintetik berkualiti tinggi dengan data dunia nyata untuk mencapai hasil imej yang lebih menarik dan stabil.
Model ini juga menggunakan sehingga 7 bilion parameter yang mempercepatkan kelajuan latihan serta meningkatkan ketepatan dalam penjanaan imej dan pemahaman tugasan berdasarkan teks. Kejayaan DeepSeek tidak berhenti di situ. Model DeepSeek-V3 yang menjadi asas kepada pembantu baharu kini menjadi aplikasi percuma paling popular di App Store Amerika Syarikat.
Kejayaan ini turut memberi kesan kepada pasaran teknologi dengan saham syarikat seperti Nvidia dan Oracle jatuh selepas pengumuman model baharu DeepSeek yang mendahului penarafan model sumber terbuka. Dengan kemajuan ini, DeepSeek terus menunjukkan daya saing dalam arena AI global yang memberi cabaran besar kepada syarikat gergasi seperti OpenAI dan Stability AI.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters







