Industri teknologi dijangka berdepan cabaran besar susulan pengumuman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Apple, syarikat gergasi teknologi antara yang paling terkesan apabila harga iPhone dijangka melonjak sehingga 30% atau lebih.
Menurut laporan Reuters, kenaikan ini berpunca daripada tarif sebanyak 34% yang dikenakan terhadap China, salah satu negara utama dalam rantaian bekalan Apple. Kebanyakan komponen iPhone diperoleh dari China dan negara lain yang turut dikenakan tarif tinggi menyebabkan Apple perlu membayar lebih untuk mendapatkan bahan mentah.
Akibat daripada pengumuman ini, saham Apple jatuh sebanyak 9.3%, penurunan paling buruk sejak Mac 2020. Berdasarkan unjuran penganalisis Rosenblatt Securities, harga standard iPhone 16 boleh mencecah AS$1,142 (~RM5,000), meningkat ketara daripada harga asal AS$799 (~RM3,999) di pasaran Malaysia.
Manakala, model iPhone 16 Pro Max dijangka berharga sekitar AS$2,300 (~RM10,100) sekiranya tarif meningkat sehingga 43%. Apple sebelum ini telah memindahkan sebahagian pengeluarannya ke Vietnam dan India bagi mengurangkan kebergantungan kepada China. Namun, kedua-dua negara ini turut dikenakan tarif tinggi iaitu masing-masing 46% dan 26%.
Menurut Neil Shah, pengasas bersama Counterpoint Research, Apple mungkin terpaksa menaikkan harga sekurang-kurangnya 30% bagi menampung cukai import yang meningkat. Ketika Trump pertama kali menjadi presiden, Apple diberikan pengecualian daripada tarif tersebut. Namun, setakat berita ini dilaporkan, tiada pengecualian baharu diberikan.
Situasi ini menimbulkan ketidakpastian dalam industri di mana Apple sama ada perlu menyerap kos tambahan ini atau menyalurkannya kepada pelanggan di seluruh dunia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







