Syarikat teknologi Nothing secara rasmi telah memulakan kempen untuk pengganti CMF Phone 1. Pengacah pertama yang bertajuk In search of the perfect shot memaparkan bahagian belakang peranti dengan memberikan petunjuk kepada peningkatan sistem kameranya.
Baru-baru ini, imej janaan yang belum disahkan mengenai CMF Phone 2 telah bocor menunjukkan bahawa peranti ini mungkin dilengkapi dengan sistem tiga kamera. Berdasarkan khabar angin, CMF Phone 2 dijangka hadir dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7400, skrin OLED 6.3 inci (FHD+ 120Hz) dan bateri berkapasiti 5,000 mAh dengan pengecasan 33W.
Selain itu, CMF Phone 2 dijangka mengekalkan reka bentuk modular seperti pendahulunya dengan panel belakang boleh tanggal dan sistem Accessory Point yang membolehkan aksesori seperti tali lanyard, pemegang kad dan kickstand dipasang dengan mudah.
CMF Phone 2 juga dijangka dilancarkan bersama beberapa peranti lain seperti CMF Watch baharu dan fon telinga tanpa wayar. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana peranti daripada Nothing dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Nothing






