Canon Malaysia telah memperkenalkan rangkaian produk baharu yang menumpukan kepada pencipta kandungan video dan jurugambar hibrid. Produk yang dilancarkan termasuk kamera EOS R50 V, kamera kompak PowerShot V1 serta dua lensa baharu iaitu RF-S 14-30mm F4-6.3 IS STM PZ dan RF 20mm f/1.4L VCM.
EOS R50 V adalah kamera dengan lensa boleh tukar yang dilengkapi sensor APS-C 24.2MP dan menyokong rakaman 4K 30p tanpa pemotongan, 4K 60p dengan pemotongan serta Full HD sehingga 120p untuk rakaman gerak perlahan. Kamera ini juga menyokong Canon Log 3, Dual Pixel CMOS AF II dan penyesuaian LUT.




PowerShot V1 pula ialah kamera kompak pertama Canon yang direka khas untuk video dan hadir dengan sensor CMOS 1.4 inci 22.3MP serta jarak zoom setara 16-50mm. Ia dilengkapi kipas penyejuk dalaman untuk penstriman langsung yang lebih lama, sistem autofokus Dual Pixel CMOS AF II dan penapis ND 3-henti untuk rakaman berkualiti tinggi dalam pelbagai keadaan cahaya.
Kedua-dua kamera ini menyokong penstriman langsung 4K, sambungan USB-C untuk fungsi webcam dan kawalan jarak jauh melalui aplikasi Camera Connect.

RF-S 14-30mm F4-6.3 IS STM PZ merupakan lensa pertama Canon dengan fungsi power zoom sesuai untuk pencipta kandungan yang ingin merakam video dengan kawalan zoom yang lebih lancar. Ia mempunyai berat hanya 181g dan menawarkan penstabil imej sehingga 5 hentian untuk rakaman lebih stabil walaupun tanpa gimbal.
RF 20mm f/1.4L VCM pula adalah lensa ultra lebar yang direka untuk jurugambar hibrid. Ia hadir dengan bukaan f/1.4 dan teknologi VCM-powered AF untuk kawalan autofokus pantas dan hampir senyap, sesuai untuk rakaman dalam cahaya rendah dan videografi profesional.

Canon PowerShot V1 mula tersedia di Malaysia bermula April 2025 pada harga RM3,999. EOS R50 V dan lensa RF 20mm f/1.4L VCM pula tersedia menjelang penghujung April 2025. Lensa RF 20mm f/1.4L VCM akan ditawarkan pada harga RM8,199 manakala harga EOS R50 V akan diumumkan kemudian.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Canon. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







