Sony telah mengumumkan bahawa harga langganan bulanan untuk perkhidmatan PlayStation Plus akan dinaikkan di Malaysia bermula 24 Jun 2025. Kenaikan ini melibatkan semua pelan langganan termasuk Essential, Extra, dan Deluxe termasuk langganan secara bulanan, suku tahunan, mahupun tahunan.
Sebagai contoh, pelan Essential yang sebelum ini berharga RM32 sebulan akan meningkat kepada RM35. Untuk langganan tiga bulan pula, harganya akan naik daripada RM75 kepada RM95, manakala langganan tahunan akan berubah daripada RM235 kepada RM285. Bagi pelan Extra, pengguna kini perlu membayar RM55 sebulan berbanding RM49 sebelum ini.

Langganan tiga bulan akan menjadi RM155 (naik dari RM125) dan langganan tahunan pula akan melonjak kepada RM490 berbanding RM400 sebelum ini. Manakala untuk pelan Deluxe, harga bulanan akan dinaikkan kepada RM65, tiga bulan kepada RM185 dan langganan tahunan akan meningkat ketara daripada RM460 kepada RM575.
Menurut Sony, pelarasan harga ini dibuat bagi memastikan mereka dapat terus menawarkan kandungan permainan yang berkualiti tinggi serta faedah tambahan kepada para pelanggan mereka. Bagi pelanggan sedia ada, harga baharu ini hanya akan berkuat kuasa apabila langganan mereka diperbaharui selepas 24 Jun 2025.
Berikut adalah jadual menunjukkan peningkatan harga bagi setiap perkhidmatan:
| Pelan PlayStation Plus | 1-Bulan (sebelum ini) | 1-Bulan (selepas) | 3-Bulan (sebelum ini) | 3-Bulan (selepas) | 12-Bulan (sebelum ini) | 12-Bulan (selepas) |
|---|---|---|---|---|---|---|
| Essential | RM32 | RM35 | RM75 | RM95 | RM235 | RM285 |
| Extra | RM49 | RM55 | RM125 | RM155 | RM400 | RM490 |
| Deluxe | RM55 | RM65 | RM145 | RM185 | RM460 | RM575 |
Namun, sekiranya pelanggan membuat sebarang perubahan pada langganan mereka seperti naik taraf, turun taraf atau menambah tempoh langganan selepas 16 April 2025, harga baharu akan dikenakan serta-merta. Menurut Sony, pengguna bebas untuk membatalkan langganan sebelum tarikh kuat kuasa tersebut jika tidak bersetuju dengan perubahan ini.
Kenaikan ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi turut melibatkan beberapa negara lain. Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk laman rasmi PlayStation. Beritahu pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







