Sony secara rasmi telah melancarkan telefon pintar baharu dengan Xperia 1 VII sebagai pengganti kepada model Xperia 1 VI yang diperkenalkan tahun lalu. Peranti ini tampil dengan peningkatan ketara daripada segi spesifikasi khususnya pada cip pemproses, paparan dan sistem kameranya.
Xperia 1 VII kini dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite dipadankan dengan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB jenis UFS serta menyokong kad microSDXC sehingga 2TB. Baterinya pula berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas USB PD. Paparan peranti ini turut mengalami perubahan besar.


Jika model sebelumnya menggunakan nisbah 21:9, Xperia 1 VII kini tampil dengan nisbah skrin 19.5:9 bersaiz 6.5 inci menggunakan panel BRAVIA OLED FHD+ yang menyokong HDR, kadar segar semula 120Hz dan 100% liputan warna DCI-P3. Peranti dilengkapi lensa utama 48MP bersaiz 1/1.56 inci, telefoto 12MP dengan panjang fokus sehingga 170mm dan lensa ultra lebar 48MP.
Kamera swafoto pula mengekalkan sensor 12MP seperti pada model sebelumnya. Sony mengesahkan bahawa Xperia 1 VII akan mula dijual pertengahan Julai ini dan hadir dalam tiga warna menarik untuk pasaran Malaysia iaitu Slate Black, Moss Green, dan Orchid Purple. Buat masa ini, harga rasmi untuk Malaysia masih belum diumumkan.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







