Institut pengajian tinggi swasta Taylor’s University hari ini memperkenalkan jurusan kejuruteraan baharu untuk para pelajar iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan Kepujian, yang pertama di Malaysia dengan laluan kepakaran dalam Sistem Robotik dan Kecerdasan Buatan (AI).
Program ini melengkapkan graduan dengan kemahiran untuk memacu inovasi dalam robotik, automasi dan AI bagi menangani cabaran dalam pelbagai industri. Menurut Pemangku Dekan Eksekutif Fakulti Inovasi & Teknologi Taylor’s University, Profesor Ts Dr Sim Yee Wai, program ini memenuhi permintaan jurutera berdasarkan Dasar Negara Malaysia mengenai Industri 4.0.
Program ini diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan bagi memenuhi piawaian antarabangsa, dan membenarkan graduan untuk menyertai Lembaga Jurutera Malaysia bagi melanjutkan kerjaya sebagai Jurutera Profesional.

Bagi melengkapkan pendidikan fakulti ini turut bekerjasama dengan DJI Academy Malaysia dan Unitree Robotics untuk mendedahkan teknologi terkini kepada pelajar, melalui Sarjana Muda Kejuruteraan untuk Penggunaan Industri (EUFORIA) dan Penyelidikan Jenis EUFORIA. Ini membenarkan pelajar untuk terlibat dengan rakan industri seawal tahun kedua pengajian.
Selain itu, pelajar boleh terlibat dengan projek Kelab Robotik untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dalam projek-projek sebenar. Untuk mereka yang berminat menyambung pengajian ke luar negara, pelajar boleh mengambil Saluran Laluan Pantas (Fast Track) 2+2 tahun ke peringkat Sarjana dalam Mekatronik & Robotik di University of Birmingham, United Kingdom.
Yuran pengajian untuk jurusan selama empat tahun ini bermula daripada RM161,066. Layari laman web Taylor’s University untuk maklumat lanjut mengenainya.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan program ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






