Syarikat telekomunikasi tempatan U Mobile telah mengumumkan kerjasamanya dengan TM bagi membina rangkaian 5G Generasi Baharu Malaysia. TM akan bertindak sebagai rakan backhaul gentian utama untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara.
Kerjasama antara dua syarikat ini bakal melibatkan nilai RM2.4 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang. Dengannya, TM menyediakan perkhidmatan infrastruktur backhaul yang menyeluruh kepada U Mobile, termasuk akses talian gentian ke Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G U Mobile, pajakan pusat data dan TM Edge Facility untuk Titik Hubungan (Points of Interconnect – POI), serta talian pajakan trunk untuk pastikan keterhubungan antara wilayah.
TM mempunyai jaringan gentian yang meliputi lebih 740,000 km dalam seluruh negara, menjadikannya liputan backhaul gentian paling luas di Malaysia. Saiz liputan ini bakal digunakan oleh U Mobile dalam memanfaatkan perkhidmatan Backhaul 5G Mudah Alih TM dan menyediakan kualiti rangkaian yang tinggi kepada pelanggan.
Sebelum ini, U Mobile telah pun dilantik sebagai syarikat telekomunikasi yang akan membangunkan infrastruktur 5G kedua negara. Kerjasama baharu dengan TM ini pasti akan mempercepatkan pembangunan tersebut.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







