Meta hari ini mengumumkan bahawa platform pemesejan WhatsApp bakal menampilkan iklan buat pertama kali melalui tab Updates yang kini menempatkan ciri Channels dan Status. Iklan akan dimasukkan ke dalam Status dan membolehkan pengguna menemui perniagaan baharu serta memulakan perbualan terus berkaitan produk atau perkhidmatan yang dipromosikan.
Selain itu, terdapat ciri Promoted Channels iaitu saluran yang dipaparkan sebagai iklan untuk membantu pengguna menemui saluran baharu yang mungkin menarik minat mereka ketika melayari direktori Channels. Meta menjelaskan bahawa semua bentuk iklan dan langganan akan dihadkan kepada tab Updates sahaja tanpa menjejaskan pengalaman pengguna.

Segala mesej peribadi, panggilan dan status kekal disulitkan hujung ke hujung (end-to-end encryption). Meta turut memperkenalkan ciri langganan berbayar untuk Channels di mana pengguna boleh membayar yuran bulanan bagi mendapatkan kemas kini eksklusif daripada saluran pilihan mereka.
Walaupun tidak berkaitan iklan secara langsung, ciri ini merupakan tambahan baharu kepada WhatsApp. Untuk menyesuaikan iklan yang dipaparkan dalam Status dan Promoted Channels, WhatsApp akan menggunakan maklumat seperti lokasi bandar atau negara, bahasa, saluran yang diikuti serta interaksi pengguna dengan iklan.
Sekiranya pengguna menghubungkan WhatsApp dengan Meta Accounts Center, maklumat daripada akaun Meta lain juga akan digunakan untuk menyesuaikan iklan. Meta memberi jaminan bahawa nombor telefon pengguna tidak akan dikongsi dengan pengiklan dan kandungan mesej, panggilan atau kumpulan tidak akan digunakan untuk menentukan iklan yang dipaparkan.
Semua ciri ini akan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WhatsApp







