amsung telah mengesahkan bahawa acara Galaxy Unpacked seterusnya akan berlangsung pada 9 Julai 2025 di Brooklyn, New York pada jam 10 pagi ET (10 malam waktu Malaysia). Dalam acara ini, Samsung dijangka memperkenalkan barisan peranti boleh lipat generasi baharu seperti Galaxy Z Fold7 dan Galaxy Z Flip7.
Selain itu, acara pelancaran turut mengumumkan beberapa peranti lain termasuk Galaxy Watch 8, fon telinga baharu dan pengacah untuk set kepala Android XR. Dalam video acah yang dikongsikan, Galaxy Z Fold7 tampil lebih nipis dengan ketebalan hanya 9mm apabila dilipat. Ukurannya berkurangan daripada 12.1mm pada model sebelumnya.
Peranti ini dijangka hadir dengan paparan luar 6.5 inci, skrin utama 8.2 inci serta kamera utama 200MP dan dijana cip Snapdragon 8 Elite bersama One UI 8 berasaskan Android 16. Sementara itu, Galaxy Z Flip7 akan menampilkan paparan luar 4 inci, menyaingi saiz Motorola Razr Ultra.
Model ini dijangka menggunakan cip Exynos 2500 untuk pasaran global. Samsung turut dijangka memperkenalkan Galaxy Watch 8 Series yang merangkumi Watch 8, Watch 8 Classic dan Watch Ultra. Menariknya, Watch 8 Classic dikhabarkan akan menggunakan paparan MicroLED 1.5 inci serta bateri 435mAh.

Sebagai tambahan kepada acara Unpacked yang bakal berlangsung, Samsung Malaysia turut menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pengguna yang membuat tempahan awal, antaranya termasuk:
- Baucar e-tunai RM50 untuk digunakan bagi pembelian Galaxy baharu
- Peluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM62,000
- Pilihan Samsung Reservation+ di mana pengguna hanya perlu membayar RM10 untuk membuka baucar tambahan bernilai RM210
Tawaran ini sah untuk tempahan awal bermula 10 malam, 9 Julai hingga 31 Julai 2025 dan hanya terpakai untuk tempahan model telefon pintar Galaxy yang akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung Malaysia







