Kementerian Pengangkutan (MoT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menambah 10,000 slot baharu bagi program MyLesen B2 yang menawarkan lesen motosikal B2 secara percuma kepada rakyat Malaysia yang layak. Kos bagi setiap lesen adalah sebanyak RM350 dan kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM3.5 juta untuk menjayakan program ini bagi tahun 2025.
Penambahan ini dibuat susulan sambutan menggalakkan, apabila sebanyak 14,581 peserta atau 97% daripada kuota asal 15,000 telah dipenuhi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika berucap di Seremban menegaskan bahawa program MyLesen B2 merupakan bukti komitmen kerajaan dalam membantu golongan B40. Ini khususnya bagi golongan belia untuk meningkatkan tahap sosioekonomi dan pendapatan isi rumah mereka menerusi peluang pekerjaan, terutamanya dalam ekonomi gig.
Beliau turut menggesa pihak sekolah supaya mengenal pasti pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen dan menyalurkan mereka kepada program ini. Loke berharap golongan belia yang berjaya mendapatkan lesen melalui MyLesen B2 bukan sahaja menjadi penunggang yang lebih berdisiplin, tetapi juga dapat menjadi duta keselamatan jalan raya dengan menyebarkan mesej kepatuhan terhadap peraturan dan sikap bertanggungjawab semasa menunggang.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Paultan






