More

    Nothing Headphone (1) turut rasmi di Malaysia: Ditala KEF, audio spatial dan hayat sehingga 80 jam berharga RM1,099

    Nothing kini melancarkan produk audio terbaharu, Nothing Headphone (1), secara rasmi di pasaran Malaysia dengan harga RM1,099. Ini menandakan kemunculan pertama fon kepala jenis over-ear daripada Nothing yang dikenali dengan rekaan telus dan estetik unik. Fon kepala ini menampilkan rekaan retro moden dengan pilihan warna hitam atau putih. Ia tidak menggunakan kawalan sesentuh seperti fon kepala moden lain, sebaliknya hadir dengan butang fizikal sepenuhnya.

    Antara kawalan yang disediakan termasuk penggelek kelantangan (volume roller), suis paddle untuk menukar lagu atau menjawab panggilan serta butang aksi boleh suai yang membolehkan pengguna mengaktifkan pembantu suara seperti ChatGPT atau bertukar aplikasi menggunakan fungsi Channel Hop.

    Dengan berat 329 gram, Nothing Headphone (1) dibina menggunakan gabungan aluminium, polikarbonat dan kusyen buih memori untuk keselesaan jangka panjang. Cawan telinga lut sinar dan lengan berbentuk segi empat menjadikan rekaan ini menonjol berbanding pesaing. Semua kawalan boleh dirasai secara fizikal dengan roller untuk pelarasan bunyi, tekan untuk mod ANC dan mod telus serta kawalan main/jeda.

    Paddle pula digunakan untuk langkau trek atau menjawab panggilan. Daripada segi audio, ia dikuasakan oleh pemacu dinamik 40mm yang ditala bersama pakar audio KEF. Sokongan codec merangkumi LDAC, AAC dan SBC dengan sambungan tanpa wayar melalui Bluetooth 5.3. Pengguna turut boleh menyambung secara berwayar menggunakan kabel USB-C (untuk audio lossless) atau bicu audio 3.5mm.

    Fon kepala ini dilengkapi sistem pembatalan hingar hibrid (hybrid ANC) yang boleh menyesuaikan pembatalan bunyi mengikut persekitaran. Untuk situasi yang memerlukan perhatian kepada persekitaran, terdapat mod telus tanpa perlu menanggalkan fon kepala. Ciri audio spatial dengan penjejakan pergerakan kepala pula memberi pengalaman lebih imersif ketika menonton filem atau mendengar muzik.

    Salah satu tarikan utama Nothing Headphone (1) ialah hayat baterinya. Dengan ANC dimatikan, pengguna boleh menikmati sehingga 80 jam penggunaan manakala dengan ANC diaktifkan, ia mampu bertahan sekitar 35 jam. Lebih mengagumkan, pengecasan pantas selama 5 minit sahaja sudah mencukupi untuk 2.4 jam penggunaan dengan ANC aktif.

    Spesifikasi Nothing Headphone (1)

    • Pemacu audio: 40 mm dinamik (kerjasama dengan KEF)
    • Codec audio: LDAC, AAC, SBC
    • Bluetooth: Versi 5.3
    • ANC: Pembatalan hingar adaptif hibrid (sehingga 42 dB)
    • Mikrofon: 4-mik untuk ANC dan panggilan
    • Bateri: Sehingga 35 jam (ANC aktif), sehingga 80 jam (ANC dimatikan)
    • Pengecasan pantas: 5 minit = ±2.4 jam penggunaan (ANC aktif)
    • Sambungan berwayar: USB-C (audio lossless), 3.5 mm jack (berkuasa)
    • Kawalan: Penggelek volum, paddle trek, butang aksi boleh suai
    • Ciri tambahan: Audio spatial dengan penjejakan kepala, mod permainan, pengesanan pemakaian, Find My Device, lampu LED
    • Binaan: Lengan aluminium, badan polikarbonat, kusyen telinga buih memori
    • Berat: 329 gram
    • Tahan air: IP52
    • Sokongan aplikasi: Nothing X (untuk EQ, bass boost, profil bunyi peribadi)
    • Warna: Hitam, Putih

    Adakah pengguna Malaysia bersedia menerima rekaan lut sinar dan kawalan retro ini? Pada harga RM1,099, ia mungkin jadi pesaing utama dalam segmen fon kepala premium gaya hidup. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing Headphone (1) dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 dilancar di Malaysia, bermula RM239

    Xiaomi hari ini mengumumkan pelancaran tiga peranti boleh pakai baharu di bawah sub jenama REDMI untuk pasaran Malaysia termasuk fon kepala over-ear...

    Catcha Digital catat untung 128 peratus hasil ambil alih syarikat media Malaysia

    Catcha Digital Berhad mencatatkan prestasi kewangan paling kukuh setakat ini apabila merekodkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 128% bagi suku pertama tahun kewangan 2026...

    Cristiano Ronaldo kini jadi duta global Dreame Technology

    Dreame Technology mengumumkan kerjasama global bersama legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dalam usaha memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran perkakasan rumah pintar...

    Xiaomi Watch S5, Smart Band 10 Pro dan Buds 6 turut rasmi di Malaysia,...

    Selain siri 17T, Xiaomi turut mengumumkan pelancaran beberapa produk baharu di Malaysia menerusi pengenalan Xiaomi Watch S5 46mm, Xiaomi Smart Band 10...

    Siri Xiaomi 17T rasmi di Malaysia dengan Dimensity 9500, kamera Leica dan bateri 7,000mAh...

    Siri Xiaomi 17T secara rasmi dilancarkan di Malaysia dengan dua pilihan model iaitu Xiaomi 17T dan Xiaomi 17T Pro. Model paling berkuasa...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...