Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan pautan palsu yang menyamar sebagai portal rasmi kerajaan dan mendakwa menawarkan bantuan tunai RM100 di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bagi mengelirukan pengguna, pautan-pautan palsu ini menggunakan elemen visual rasmi seperti logo Malaysia MADANI dan Bersama Malaysiaku termasuk laman seperti “BantuanNegara.com” dan variasinya.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital menasihati orang awam supaya tidak mempercayai mana-mana pautan yang tidak berakhir dengan domain rasmi kerajaan “.gov.my” serta tidak memasukkan maklumat peribadi di mana-mana laman luar yang mencurigakan. Tambahnya, bantuan RM100 SARA tidak memerlukan sebarang permohonan.
Bayaran akan dikreditkan secara automatik terus ke MyKad bagi warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Oleh itu, sebarang laman web yang memerlukan pendaftaran, log masuk atau perkongsian data adalah berpotensi sebagai penipuan.
Pihak berkuasa telah mengambil tindakan menyekat akses kepada laman palsu tersebut dan menyeru orang awam untuk terus melaporkan aktiviti scam ke talian khas 997 yang diuruskan oleh pasukan siber polis. Pihak kementerian juga menasihati supaya orang ramai tidak menyebarkan atau berkongsi semula pautan palsu di media sosial agar tidak membantu menyebarkan scam secara tidak sengaja.
Sikap berhati-hati dan celik digital amat penting dalam melindungi data peribadi dan kewangan pengguna. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







