[Kemas kini, 24 Ogos 2025] OPPO menjelaskan bahawa mereka sedar tentang saman yang difailkan oleh Apple dan kini sedang melakukan tindakan selanjutnya, mengikut saluran undang-undang. Mereka menegaskan bahawa mereka tidak menjumpai sebarang hubungan antara tuduhan daripada pihak Apple dengan jurutera yang bekerja dalam OPPO.
OPPO menghormati rahsia-rahsia dagangan (trade secrets) daripada pesaing-pesaingnya, termasuk Apple, dan tidak akan menyalahgunakan rahsia-rahsia tersebut.
[Laporan asal] Apple telah memfailkan saman terhadap bekas juruteranya, Dr. Chen Shi, selepas mendakwa beliau mencuri rahsia dagangan berkaitan Apple Watch dan menyalurkan maklumat itu kepada OPPO. Tuntutan difailkan di Mahkamah Daerah Utara California.
Menurut Apple, Dr. Shi yang sebelum ini bertugas sebagai Sensor System Architect telah memuat turun 63 dokumen sulit daripada folder Box syarikat hanya tiga hari sebelum meninggalkan Apple pada Jun lalu. Dokumen tersebut mengandungi maklumat penting termasuk teknologi sensor kesihatan seperti ECG, PPG, pengesanan suhu selain pelan pembangunan cip dan peta jalan produk.

Apple mendakwa Dr. Shi turut cuba menghapus jejak dengan mencari kaedah memadam data MacBook dan menyembunyikan akses fail dalam storan bersama. Dalam masa yang sama, beliau menghantar mesej kepada Ketua Kesihatan OPPO dengan menyatakan niat untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat sebelum berkongsi dengan pasukan berkenaan.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa dalam surat peletakan jawatan, Dr. Shi mendakwa berhenti atas sebab peribadi, namun sebenarnya telah menerima tawaran kerja di InnoPeak Technology, unit penyelidikan OPPO di Silicon Valley. Apple kini menuntut injuksi mahkamah untuk menghalang penggunaan atau pendedahan maklumat tersebut selain menuntut ganti rugi pampasan, ganti rugi punitif serta kos guaman.
Setakat ini, OPPO masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MacRumors






