WhatsApp kini sedang melancarkan ciri baharu dipanggil Writing Help iaitu pembantu penulisan berkuasa AI yang menggunakan teknologi Private Processing untuk menjaga privasi pengguna. Melalui Private Processing, permintaan dihantar secara selamat dan tanpa identiti bagi memastikan tiada mesej boleh dikaitkan dengan pengguna.
Kandungan mesej tidak disimpan pada pelayan Meta atau WhatsApp dan AI hanya memberi cadangan penulisan tanpa meninggalkan sebarang jejak digital. Pada peringkat awal, ciri ini hanya diberikan kepada sebilangan kecil pengguna bagi tujuan ujian dan maklum balas tetapi kini lebih ramai pengguna boleh mencubanya.

Ciri Writing Help direka untuk membantu pengguna memperbaiki gaya dan nada mesej mereka. Ia boleh menjadikan mesej lebih profesional, menambah jenaka, memperjelas maksud atau menjadikannya lebih empati. Pengguna hanya perlu mengetik ikon pensel dalam ruang mesej untuk meminta cadangan, kemudian memilih nada yang diingini seperti rephrase, professional, funny, supportive atau proofread.
AI akan menghasilkan versi mesej yang lebih baik, namun keputusan akhir sama ada mahu menggunakan cadangan tersebut atau mengekalkan mesej asal sepenuhnya terletak pada pengguna. Penerima mesej juga tidak akan tahu bahawa Writing Help digunakan kerana ia diintegrasikan secara lancar ke dalam pengalaman sembang biasa.
Untuk memastikan keselamatan, WhatsApp bekerjasama dengan pakar keselamatan bebas termasuk NCC Group dan Trail of Bits yang telah mengesahkan kekukuhan seni bina Private Processing. Writing Help adalah pilihan sepenuhnya dan pengguna boleh menghidupkan atau mematikannya pada bila-bila masa melalui tetapan aplikasi.
Buat masa ini, Writing Help sedang dilancarkan secara berperingkat dalam bahasa Inggeris di iOS dan Android bermula di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, dengan perancangan untuk memperluaskan sokongan ke lebih banyak bahasa dan rantau pada tahun ini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo






