CelcomDigi hari ini mengumumkan kerjasama dengan beberapa rakan industri utama Malaysia bagi merintis penyelesaian trafik pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama seumpamanya di negara ini. Inisiatif ini dilancarkan sempena Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 dan disaksikan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.
Projek rintis ini dilaksanakan bersama MyDigital Corporation (MyDigital), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Digital Nasional Berhad (DNB) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kawasan Damansara dipilih sebagai lokasi awal yang meliputi PJ Sentral, SS2 dan sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Melalui teknologi rangkaian neural pintar dan analitik data masa nyata yang digabungkan dengan rangkaian 5G, sistem ini akan:
- Mengurus kitaran lampu isyarat secara dinamik untuk mengurangkan kesesakan.
- Menyediakan panduan lencongan trafik semasa waktu puncak, kerja jalan atau kecemasan.
- Menawarkan wawasan berguna kepada pihak berkuasa bandar untuk perancangan infrastruktur lebih baik.
CelcomDigi mengatakan penyelesaian ini dijangka memendekkan masa perjalanan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan menyokong pembangunan bandar pintar di Malaysia. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







