Pasaran telefon pintar lipat gaya flip kini menjadi semakin sengit apabila semakin banyak jenama memperkenalkan telefon mereka sendiri, termasuklah OPPO, Xiaomi dan Infinix. Jadi apabila Samsung memperkenalkan Samsung Galaxy Z Flip7 pada bulan Julai lalu, Samsung perlu melakukan sesuatu yang benar-benar unik untuk membuatkannya unik berbanding telefon pesaing.
Flip7 dijual pada harga bermula RM4,999 untuk varian RAM12GB dan storan dalaman 256GB, menjadikannya agak mahal berbanding telefon flip jenama lain, tetapi adakah harga yang lebih mahal itu bermaksud telefon ini lebih berbaloi dengan ciri-ciri dan fungsi yang ditawarkan? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.
Rekaan – Skrin luaran lebih besar!
Jika dilihat secara kasar, Galaxy Z Flip7 mempunyai reka bentuk yang sama seperti Flip6. Ia masih mempunyai ketebalan 6.9mm apabila dibuka, manakala beratnya masih lagi 188 gram.
Sungguh pun begitu, satu penambahbaikan yang ketara boleh dilihat pada bahagian skrin luarannya (cover screen). Flip7 mempunyai saiz skrin luaran yang lebih besar iaitu 4.1 inci, lebih besar berbanding 3.4 inci pada Flip6. Ini bermaksud hampir keseluruhan bahagian hadapan telefon ini dipenuhi dengan skrin, dengan sempadan bezel yang sangat nipis.


Skrin luaran yang lebih besar ini juga bermaksud ia lebih praktikal untuk segala jenis aplikasi jika anda ingin gunakan skrin luaran sahaja. Ini bukan sahaja meringkaskan penggunaan kerana anda tidak perlu buka skrin utama, malah akan menjimatkan bateri.
Bercakap tentang skrin utama, Flip7 kini mempunyai saiz yang lebih besar sedikit iaitu 6.9 inci (Flip6 mempunyai saiz 6.7 inci). Saiz bezel juga sangat nipis di semua sisi dan saya kagum dengan bagaimana Samsung mampu membesarkan saiz skrin Flip7 tanpa mengubah saiz keseluruhan daripada Flip6.
Skrin ini mempunyai resolusi 1080×2520 dengan nisbah aspek 21:9, bermaksud ia mempunyai tinggi dan lebar yang serupa seperti telefon biasa, jadi anda tidak akan mengalami sebarang perubahan ketara jika anda memutuskan untuk berhijrah daripada telefon biasa kepada telefon lipat.


Ini adalah sebuah telefon lipat, jadi sudah tentu ramai yang ingin tahu jika garis lipatan di tengah-tengah skrin masih nampak jelas. Untuk aspek ini, Flip7 masih sama seperti Flip6 di mana garisan tersebut masih nampak jelas jika anda sengetkan skrin ini pada sudut tertentu, namun jika anda melihat skrin ini secara terus, garisan tersebut akan hilang. Malah, jika anda fokus pada kandungan yang dipaparkan pada skrin, anda tidak akan perasan langsung keberadaan garis lipatan.
Untuk ketahanan, Flip7 mempunyai rating kalis air IP48 yang bermaksud ia boleh ditenggelami air selama 30 minit pada paras kedalaman 1.5 meter, jadi anda tidak perlu risau jika telefon ini atau engselnya terkena simbahan air. Selain itu, kedua-dua skrin luaran dan utama dibuat daripada kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 yang bermaksud ia mempunyai ketahanan tinggi terhadap calar dan retak.
Ia masih mempunyai pengimbas cap jari sisi yang masih berfungsi dengan pantas, namun saya perlu akui bahawa ia rasa agak ketinggalan berbanding kebanyakan telefon lain yang mula menggunakan pengimbas cap jari dalam skrin, termasuklah telefon-telefon yang lebih murah.
Spesifikasi – Cipset baru!
Berikut merupakan spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy Z Flip7:
- Skrin utama Dynamic AMOLED 2X 6.9 inci, resolusi 2520×1080, kadar segar semula 120Hz, kaca Corning Gorilla Glass Victus 2
- Skrin luaran Super AMOLED 4.1 inci, resolusi 1048×948, kadar segar semula 120Hz
- Cipset Exynos 2500
- RAM 12GB
- Storan dalaman 256GB atau 512GB
- Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 12MP
- Kamera hadapan 10MP
- Bateri 4,300mAh
- Pengecasan pantas 25W, pengecasan wayarles 15W
- Sistem operasi Android 16 dengan One UI 8
- Rating kalis air IP48
- Menyokong Bluetooth 5.4, Wi-Fi 7
- Pilihan warna Blue Shadow, Jet-Black, Coral-Red
- Harga:
- 12GB+256GB: RM4,999
- 12GB+512GB: RM5,599
Menariknya, Samsung Galaxy Z Flip7 merupakan telefon pertama yang dilengkapi cipset Exynos 2500. Cipset ini mempunyai 10 teras, dibuat dengan nod proses 3nm serta menawarkan peningkatan prestasi kecerdasan buatan (AI). Saya akan ulas mengenai penggunaan saya tentang cipset ini dalam seksyen Prestasi.
Untuk RAM, hanya satu sahaja varian yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 12GB, manakala storan pula ditawarkan dalam dua varian iaitu 256GB dan 512GB. Malangnya, ia tidak mempunyai slot untuk membesarkan storan dengan kad memori microSD.
Walaupun dengan saiz kecil, ia mempunyai kapasiti bateri yang agak besar untuk telefon lipat gaya flip iaitu 4,300mAh. Untuk perbandingan, ia lebih besar berbanding 4,000mAh pada Flip6 dan hanya 100mAh lebih besar berbanding Galaxy Z Fold7, meskipun Flip7 jauh lebih kecil berbanding Fold7.
Malangnya, kadar pengecasan Flip7 masih kekal daripada Flip6 iaitu sekadar pengecasan berwayar 25W dan pengecasan wayarles 15W. Ini semestinya adalah sesuatu yang sukar diterima kerana pada 2025 ini, lambakan telefon kelas pertengahan pun sudah memiliki kadar pengecasan yang jauh lebih tinggi, namun Flip7 masih ketinggalan dengan 25W sahaja.

Meskipun dengan kekurangan pada kadar pengecasan ini, Flip7 masih mempunyai satu kelebihan ketara iaitu tempoh kemas kini Android yang lama. Ia didatangkan dengan Android 16 bersama antara muka (UI) One UI 8 apabila dikeluarkan daripada kotak, dan ia akan menerima kemas kini selama tujuh tahun. Secara teori, ia akan terus menerima kemas kini sehingga tahun 2032 oleh itu harganya yang mahal jadi amat berbaloi jika anda mampu menggunakannya selama itu.
Satu ciri menarik One UI 8 yang dikhaskan untuk Flip 7 adalah anda kini boleh buka sebarang aplikasi pada skrin luaran, dengan menggunakan Launcher Widget. Sesetengah aplikasi sesuai untuk skrin kecil ini, seperti menonton video YouTube atau melayari media sosial, namun ia tidak sesuai untuk bermain game kerana semua ikon akan nampak lebih kecil dan sukar ditekan.



Sudah tentu, ia didatangkan dengan pelbagai fungsi Galaxy AI untuk memudahkan tugas harian anda, seperti Call Assist untuk menterjemah panggilan telefon, Writing Assist untuk hasilkan tulisan yang sesuai dengan situasi berlainan, Browsing Assist untuk ringkaskan laman web, Photo Assist untuk menyunting gambar dengan AI generatif dan banyak lagi.
Satu rungutan saya adalah semua fungsi Galaxy AI disenaraikan dalam Tetapan (Settings), namun ia tidak menjelaskan bagaimana saya boleh mengakses semua fungsi ini. Saya harap dalam kemas kini akan datang, Samsung akan menjelaskan bagaimana pengguna boleh mengakses fungsi Galaxy AI apabila mereka melihatnya dalam Settings.
Prestasi – Bagus, tapi tidak sempurna
Berikut adalah penanda aras yang saya lakukan untuk Samsung Galaxy Z Flip7:

Flip7 mencatatkan markah yang tidak jauh beza berbanding Flip6 (menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 3), walaupun ia menggunakan cipset Exynos 2500 yang sepatutnya setaraf dengan Snapdragon 8 Elite. Saya tidak pasti jika Samsung merendahkan prestasi telefon ini untuk pengurusan haba yang lebih efisien, atau memang Exynos 2500 ini setaraf dengan Snapdragon 8 Gen 3 sahaja.
Perkara ini boleh dirasakan apabila saya bermain beberapa game grafik tinggi, seperti Delta Force dan Wuthering Waves. Dalam Delta Force, ia gagal memberikan kualiti grafik yang tinggi seperti dalam siri Samsung Galaxy S25 dan menjejaskan pengalaman saya memainkan game ini. Malah dalam tetapan grafik sekalipun, saya tidak dibenarkan untuk menaikkan tahap grafik.


Dalam Wuthering Waves pula, saya boleh memainkannya dengan tahap grafik tertinggi, namun kadar bingkai turun dengan jelas walaupun selepas tempoh yang singkat. Ini membuatkan saya fikir Flip7 bukanlah telefon yang sesuai untuk sesi gaming intensif. Sungguh pun begitu, ia boleh memainkan game popular seperti COD Mobile dan Mobile Legends dengan lancar.
Untuk tugasan harian dan pemprosesan Galaxy AI, telefon ini boleh melakukannya dengan sangat lancar dan saya tidak mempunyai rungutan langsung. Walaupun demikian, saya perlu nyatakan bahawa telefon ini jadi suam dengan agak cepat, malah lebih cepat berbanding telefon andalan (flagship) lain.
Saya faham jika telefon ini jadi suam sewaktu bermain game grafik tinggi atau menggunakan kamera, namun ia menjadi suam apabila saya membuka aplikasi harian seperti media sosial dan Netflix. Ini mungkin kerana isu yang timbul daripada rekaan telefon lipat ini yang sukar melesapkan haba. Oleh demikian, saya berharap Samsung akan mengambil berat mengenai isu ini untuk Flip8.
Untuk penggunaan bateri, walaupun kapasiti 4,300mAh itu mungkin nampak macam terlalu kecil untuk telefon andalan yang dilancar pada 2025, ia sebenarnya cukup untuk penggunaan selama sehari jika anda sekadar melakukan tugasan harian. Walaupun begitu, jika anda kerap melakukan tugas intensif seperti pengemudian GPS merakam video dan bermain game, baterinya akan habis dengan jauh lebih cepat dan mungkin akan habis sebelum waktu malam.
Bagi menguji pengecasannya, saya menggunakan pengecas pihak ketiga berkadar 65W dan pengecasan daripada 0% hingga penuh mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit.
Kini saya ingin mengulas mengenai fotografinya pula. Flip7 mempunyai dua kamera sahaja di belakang iaitu kamera utama 50MP dan kamera ultra-lebar 12MP yang sama dengan Flip6 sebelum ini. Kualiti gambar nampak cantik, serupa seperti yang dihasilkan daripada siri Galaxy S25, dengan warna yang terang dan kawalan cahaya yang seimbang. Mod malam juga bagus dengan jumlah noise yang rendah.









Sudah tentu, satu manfaat besar dengan telefon lipat adalah anda boleh ambil selfie menggunakan kamera utama dan ia jauh lebih cantik berbanding kamera hadapan 10MP yang terdapat pada skrinnya. Untuk video, ia boleh merakam dengan resolusi sehingga 4K pada kadar 60fps dan ia nampak sangat cantik.
Walaupun kameranya cantik, ketiadaan kamera telefoto membuatkannya ia tidak mampu zum jauh. Ia boleh buat zum digital setakat 10x sahaja, namun secara jujurnya saya cuma cadangkan anda ambil gambar sejauh zum 2x atau 3x sahaja. Lebih daripada itu, kemudian gambar anda akan nampak comot.
Kesimpulan – Telefon lipat canggih dengan fokus pada AI
Samsung Galaxy Z Flip7 mempunyai beberapa ciri-ciri yang memisahkannya daripada telefon flip lain, terutamanya daripada kepelbagaian fungsi Galaxy AI dan tempoh kemas kini yang lama. Selain itu, skrin luarannya juga lebih besar sedikit berbanding Flip6, membuatkannya mudah digunakan dengan skrin luaran sahaja.
Meskipun begitu, ia masih mempunyai beberapa isu yang ketara. Kadar pengecasannya masih rendah untuk telefon andalan yang dilancar pada 2025. Badannya cepat menjadi suam walaupun jika anda gunakan aplikasi biasa sahaja. Kameranya pula tidak menawarkan zum yang jauh.
Walaupun dengan isu-isu di atas, ia masih lagi sebuah telefon flip yang canggih dan berbaloi dengan harganya. Jika anda mahukan alternatif, anda hanya boleh lihat pada Samsung Galaxy Z Flip7 FE yang dijual pada harga RM3,999 sahaja, namun dengan cipset yang lebih perlahan, bateri lebih kecil dan skrin luaran yang lebih kecil.
Anda juga boleh lihat pada telefon yang dilancar pada 2024 seperti OPPO Find N3 Flip, Xiaomi Mix Flip dan Infinix Zero Flip. Xiaomi ada melancarkan Xiaomi Mix Flip 2 pada tahun ini, namun ia tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







