PUBG MOBILE mengumumkan pembaharuan besar bagi World of Wonder (WOW) Incentive Program yang kini menawarkan jumlah dana hadiah keseluruhan mencecah ASD10 juta. Program WOW yang mula diperkenalkan sejak kemas kini Versi 4.0 telah memberi ruang kepada pemain untuk membangunkan peta ciptaan sendiri dan menerima insentif wang tunai.
Pencipta terbaik berpeluang memperoleh lebih ASD200,000 manakala lebih daripada 100,000 pencipta dijangka menerima ganjaran sepanjang tahun 2025. Melalui sistem WOW Pass, pemain boleh mengumpul mata dan membuka pelbagai ganjaran percuma dengan menyertai kandungan World of Wonder serta menamatkan misi tertentu.

Pemain yang menaik taraf kepada versi Pass berbayar pula akan menikmati akses tambahan dan faedah eksklusif. Sebahagian hasil daripada WOW Pass turut dilaburkan semula ke dalam Program Insentif WOW yang dapat menambah dana hadiah dan memberi pulangan semula kepada komuniti pencipta. Untuk menyertainya, pemain perlu mendaftar akses pencipta melalui mod WOW dalam permainan.
Selepas mencipta peta dan memperoleh 500 pemain unik dalam tempoh 30 hari, mereka boleh mengemukakan permohonan yang akan disemak dalam masa sehari. Pencipta yang diluluskan boleh mula menerima pendapatan berdasarkan tahap populariti dan penerimaan kandungan masing-masing.
PUBG MOBILE turut memudahkan pengeluaran pendapatan dengan menurunkan ambang minimum daripada ASD100 kepada ASD50. Sebagai tambahan, pelajar yang berminat untuk meneroka dunia penciptaan peta boleh menyertai ceramah “School of Wonder” yang bakal diadakan Oktober ini di Asia Pacific University (APU) dan Management and Science University (MSU).
Program Insentif World of Wonder kini boleh diakses terus dalam aplikasi PUBG MOBILE yang tersedia untuk dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play Store. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







