Selain melancarkan siri OPPO Find X9 semalam, OPPO Malaysia turut melancarkan fon telinga wayarles baharu OPPO Enco X3s. Ia dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif (ANC) yang menggunakan tiga mikrofon untuk membatalkan bunyi, serta mempunyai talaan oleh Dynaudio untuk hasilkan kualiti audio yang jelas.
Teknologi ANC dalam fon telinga ini boleh mengurangkan bunyi luaran sehingga 55dB merentasi jurang frekuensi ultra-lebar 5,500Hz bagi membenarkan anda dengar lagu atau audio lain dengan lebih jelas. Ia mempunyai fungsi Real-time Dynamic ANC yang boleh mengurangkan bunyi persekitaran seperti suara manusia, bunyi kereta api, bunyi kapal terbang dan lain-lain.
Selain itu, ia mempunyai Adaptive Mode yang boleh melaraskan tahap pembatalan hingar berdasarkan bunyi sekeliling. Sewaktu membuat panggilan telefon, ia menggunakan tiga mikrofon untuk meningkatkan pembatalan hingar dalam situasi berangin atau bising, digabungkan dengan mod pembatalan hingar berdasarkan kecerdasan buatan (AI) supaya suara anda kekal jelas dalam panggilan.


OPPO telah bekerjasama dengan syarikat audio Dynaudio untuk menghasilkan kualiti audio yang tinggi dalam fon telinga ini. Ia menawarkan tiga mod bunyi iaitu Ultimate Sound, Pure Vocals dan Thundering Bass.
Kedua-dua belah fon telinga mempunyai pemacu Dual Dynamic Drivers untuk menghasilkan bass yang lebih dalam dan lembut serta treble yang lebih jelas. Ia turut mempunyai pemacu DAC untuk pemprosesan frekuensi tinggi dan rendah tanpa gangguan signal.
Ia dihubungkan kepada peranti melalui hubungan Bluetooth 5.4 dan menyokong LHDC 5.0 untuk audio beresolusi tinggi. Jika ia dihubungkan dengan telefon OPPO, ia boleh gunakan fungsi AI Translate untuk penterjemahan secara langsung dalam 20 bahasa berlainan. Fungsi ini boleh digunakan oleh peranti-peranti jenama lain juga dengan memuat turun aplikasi HeyMelody.
Ia mempunyai rating kalis air dan debu IP55. Baterinya pula boleh bertahan sehingga 11 jam (jika AAC, ANC dimatikan) dan sehingga 45 jam jika digabungkan dengan bateri dalam bekas pengecas.

OPPO Enco X3s akan dijual di Malaysia pada harga RM599 bermula 29 November 2025. Ia boleh didapati di kedai-kedai OPPO Brand Stores, pengedar sah dan laman web OPPO.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







