Apple kini memperkenalkan versi web penuh untuk App Store yang membolehkan pengguna menyemak aplikasi dan permainan merentasi semua platform utama syarikat termasuk iPhone, iPad, Mac, Apple TV, Apple Watch dan Vision Pro terus dari pelayar web.
Laman rasmi App Store menampilkan rekaan moden dengan tab “Today”, senarai aplikasi popular, fungsi carian dan penapisan mengikut kategori atau platform. Setiap aplikasi turut memaparkan butiran lengkap seperti tangkapan skrin, ulasan, saiz fail dan keperluan sistem menjadikannya jauh lebih interaktif berbanding versi web lama yang hanya memaparkan maklumat asas.

Bagaimanapun, pengguna tidak boleh memuat turun aplikasi terus dari laman web ini. Setiap pautan “Get” akan membuka App Store asal pada peranti yang bersesuaian seperti iPhone atau Mac untuk proses pemasangan.
Selain memudahkan pengguna mencari dan berkongsi aplikasi melalui pautan web, ia juga membantu pembangun mendapat pendedahan tambahan kerana halaman aplikasi kini lebih mudah dicapai melalui carian Google atau platform luar.

Pelancaran ini menunjukkan bahawa Apple sedang bergerak ke arah ekosistem yang lebih terbuka, namun masih mengekalkan kawalan penuh terhadap proses muat turun dan transaksi dalam App Store. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Apple







