HONOR Malaysia bakal melancarkan telefon pintar flagship terbaru, HONOR Magic8 Pro, yang bakal dilengkapi spesifikasi terkini seperti cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5, skrin OLED LTPO 120Hz, pengecasan pantas 100W dan sistem operasi Android 16.
Satu ciri utama yang memisahkan telefon ini berbanding telefon flagship jenama lain adalah kameranya yang terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto periskop 200MP dan kamera ultra-lebar 50MP. Dengan kamera telefoto periskop itu, ia menyediakan zum optikal 3.7x dan zum digital sejauh 100x, malah ia mempunyai pemprosesan AI untuk membuatkan gambar zum nampak lebih cantik.
Sungguh pun begitu, sejauh manakah sebenarnya kualiti gambar zum daripada HONOR Magic8 Pro? Baru-baru ini, kami telah dijemput oleh HONOR Malaysia untuk naik ke tingkat 98 dalam menara Merdeka 118 (menara tertinggi di Malaysia) dan cuba menggunakan kamera telefoto untuk mengambil gambar latar kota raya Kuala Lumpur. Berikut merupakan ulasan saya mengenai kamera ini.
Secara jujur, saya sangat berpuas hati dengan prestasi zum pada kamera Magic8 Pro. Kameranya boleh mengambil gambar dengan jelas dalam pelbagai jarak zum, termasuklah 10x, 30x dan 50x. Berikut merupakan beberapa contoh gambar yang saya ambil:








Saya juga cuba mengambil gambar zum ekstrem sejauh 50x hingga 100x. Jelas sekali, kamera ini masih tidak boleh menghasilkan gambar yang tajam sepenuhnya, namun ia masih mempunyai pemprosesan AI yang cuba meningkatkan kualiti gambar menggunakan AI generatif. Anda masih boleh nampak efek-efek pemprosesan AI, namun ia tidak begitu jelas seperti telefon-telefon flagship pada tahun lalu.
Satu perkara menarik yang saya perasan adalah ia tidak memerlukan hubungan internet untuk memproses gambar zum jauh dengan AI generatif. Walaupun saya mengambil gambar tanpa menggunakan sebarang tripod dan sekadar memegang Magic8 Pro sahaja, kualiti gambar masih nampak jelas. Warna pada gambar nampak natural dan tidak terlalu pekat atau overprocessed seperti telefon flagship lain.






Untuk video, telefon ini boleh zum sejauh 15x sahaja. Meskipun ia tidak sejauh zum untuk gambar, ia masih boleh memberikan kualiti yang jelas dalam resolusi 4K.
Siri HONOR Magic memang terkenal dengan kebolehan kameranya dan Magic8 Pro kini meningkatkan lagi standard untuk kamera dalam telefon flagship. Kini walaupun anda berada jauh dengan subjek, anda masih boleh dapat gambar dengan prestasi zumnya.
Ulasan penuh untuk HONOR Magic8 Pro akan diterbitkan dalam masa beberapa minggu lagi. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







