OpenSys Technologies hari ini memperkenalkan PalmWav™ iaitu prototaip sistem pembayaran baharu yang menggunakan pengecaman tapak tangan sepenuhnya dan membolehkan pengguna membuat transaksi tanpa dompet, kad atau telefon. Ia dibangunkan untuk menepati piawaian keselamatan moden termasuk tokenisasi pembayaran, penyulitan hujung ke hujung serta pemantauan penipuan masa nyata.
Pengguna yang berminat boleh mendaftar profil tapak tangan melalui aplikasi mudah alih atau terus di lokasi perintis. Selepas didaftarkan, pengguna hanya perlu mengimbas tapak tangan di terminal untuk membuat bayaran. Menariknya, PalmWav™ mampu beroperasi dengan infrastruktur pembayaran sedia ada di Malaysia termasuk MyDebit di bawah PayNet.

Sistem PalmWav™ turut menggunakan kepakaran AI Tencent Cloud yang menghasilkan “tandatangan tapak tangan” unik bagi setiap pengguna dalam bentuk templat sulit. PalmWav™ kini telah digunakan di beberapa lokasi perintis seperti Kom.Fi Café di Kuala Lumpur dan Bread Maison di Petaling Jaya bagi menunjukkan kelancaran pendaftaran serta kelajuan transaksi dunia sebenar.
Menurut OpenSys, sistem ini juga boleh disepadukan dengan program kesetiaan atau ganjaran yang memberi nilai tambah kepada peniaga dan pengguna. PalmWav™ direka untuk berskala besar dengan kemampuan menyokong jutaan pengguna di masa hadapan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







