Syarikat semikonduktor antarabangsa Intel telah mengumumkan bahawa mereka akan membuat pelaburan tambahan bernilai RM860 juta bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia mencerminkan keyakinan Intel terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuklah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Dalam pada itu, Intel turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang bekerjasama dengan mereka selama ini, terutamanya dengan pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap.
Beliau turut bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan, yang lahir di Muar, Johor pada 1959. Beliau telah mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan kini memegang kerakyatan Amerika Syarikat. Mereka membincangkan perkembangan sektor semikonduktor dan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bermutu tinggi.
Selain itu, Anwar menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan tempatan melalui mata pelajaran elektif dan projek penyelidikan dan pembangunan. Mereka telah memberi komitmen sebanyak RM2.8 juta untuk tujuan ini dalam tempoh dua tahun.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







