Qualcomm memperkukuh penawaran cipset kelas pertengahannya dengan memperkenalkan Snapdragon 6s 4G Gen 2 dan Snapdragon 4 Gen 4, dua platform mudah alih yang direka untuk memberikan prestasi lancar, pengalaman multimedia lebih imersif serta sambungan yang boleh dipercayai.
Kedua-dua cip ini menyasarkan pengguna yang mahukan keseimbangan antara prestasi, kecekapan tenaga dan ciri moden tanpa perlu beralih ke peranti andalan. Snapdragon 6s 4G Gen 2 memberi tumpuan kepada pengalaman multimedia pada peranti 4G, dengan peningkatan ketara pada CPU Qualcomm Kryo yang menawarkan prestasi sehingga 51 peratus lebih baik dan kelajuan maksimum sehingga 2.9GHz.
Ia turut dipadankan dengan GPU Adreno yang dipertingkat untuk grafik lebih lancar, sokongan paparan FHD+ dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dan keupayaan kamera sehingga 108MP melalui Spectra Triple ISP yang membolehkan rakaman pelbagai kamera secara serentak. Daripada segi pengecasan, teknologi Qualcomm Quick Charge 3 membolehkan peranti dicas sehingga 80 peratus dalam masa sekitar 35 minit.
Sementara itu, Snapdragon 4 Gen 4 menyasarkan telefon pintar mampu milik dengan sokongan 5G, dibina menggunakan proses 4nm yang lebih cekap tenaga. Cip ini menawarkan prestasi responsif melalui CPU Kryo sehingga 2.3GHz dan GPU Adreno untuk visual yang lancar, termasuk sokongan paparan sehingga 120fps.
Keupayaan kameranya merangkumi sensor sehingga 36MP dengan fokus automatik pantas dan teknologi AI untuk prestasi cahaya rendah yang lebih baik. Ia turut menyokong memori LPDDR5, pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 4+, serta sambungan 5G berkelajuan tinggi sehingga 2.5Gbps bersama Wi-Fi 5, menjadikannya pilihan menarik untuk pengguna yang aktif dan sentiasa bergerak.
Ketahui lebih mengenai Snapdragon 6s 4G Gen 2 dan Snapdragon 4 Gen 4 di laman web rasminya. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







