Samsung dilaporkan sedang membangunkan sebuah peranti lipat baharu yang masih penuh misteri untuk tahun 2026 dengan nombor model yang bocor mencadangkan ia lebih kepada peranti gaya Fold berbanding Flip. Selain Galaxy Z Fold 8, terdapat satu lagi model Fold dalam perancangan, mencetuskan spekulasi bahawa Samsung sedang menilai beberapa bentuk faktor baharu termasuk reka bentuk berbentuk segi empat dan konsep “passport-style” yang unik.
Reka bentuk ini dikatakan menampilkan skrin luar bersaiz mini tablet dan skrin dalaman yang lebih besar apabila dibuka, berbeza daripada konsep telefon-ke-tablet yang digunakan pada Fold sedia ada. Konsep passport-style ini telah ditunjukkan menerusi tinjauan dalaman Samsung berkaitan bentuk faktor Fold, walaupun butiran seperti saiz dan dimensi skrin masih belum didedahkan.


Walaupun tinjauan ini tidak menjamin ia akan dilancarkan secara komersial, ia membuktikan Samsung sedang agresif meneroka variasi baharu dalam segmen peranti lipat. Dengan khabar angin mengenai TriFold pertama Samsung serta persaingan yang semakin sengit termasuk kemasukan Apple ke pasaran ini, masa depan peranti boleh lipat nampaknya semakin menarik dan mungkin juga semakin pelik dalam cara yang baik.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: SammyGuru







