ASUS Republic of Gamers (ROG) secara rasmi mengumumkan ROG XREAL R1 iaitu cermin mata gaming pertama di dunia yang menampilkan paparan micro-OLED FHD 240Hz dengan resolusi 1920 x 1080. Dibangunkan bersama XREAL, peranti ini membawa prestasi ROG ke dalam bentuk paparan spatial yang boleh dipakai dan digunakan di mana-mana.
ROG XREAL R1 menyokong penggunaan bersama PC, konsol dan ROG Ally melalui ROG Control Dock dengan sambungan DisplayPort 1.4 serta dua HDMI 2.0. Untuk permainan mudah alih, ia boleh disambungkan terus ke ROG Ally melalui USB-C bagi menghasilkan paparan maya sehingga 171 inci tanpa tetapan tambahan sambil mengekalkan akses penuh kepada kawalan skrin sentuh.

ROG XREAL R1 menawarkan paparan maya 171 inci pada jarak tontonan empat meter dengan liputan sehingga 95% medan pandangan fokus. Kadar segar semula 240Hz bersama latensi motion-to-photon serendah 3ms memastikan visual yang sangat lancar, responsif dan hampir bebas kabur pergerakan.
Ia hadir dengan berat hanya 91 gram, sokongan penjejakan tiga darjah kebebasan dan mod Anchor yang mana pengguna boleh meletakkan paparan maya di mana-mana dalam persekitaran fizikal atau mengekalkannya di tengah medan pandangan seperti tetapan gaming tradisional. Cermin mata ini turut dilengkapi teknologi lensa elektrokromik yang boleh melaras tahap ketelusan secara automatik mengikut arah pandangan pengguna.

Lensa akan menjadi lebih cerah apabila pengguna mengalihkan pandangan daripada skrin dan menjadi lebih gelap apabila fokus kembali ke paparan. Tiga tahap peredupan manual turut disediakan bagi memastikan keselesaan penggunaan dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Pengalaman audio pula dipacu oleh Sound by Bose yang menawarkan bunyi spatial dengan kejelasan tinggi.
Kesan arah dan isyarat persekitaran dapat didengar dengan tepat bagi membantu pemain bertindak balas dengan lebih pantas semasa permainan. ASUS mengesahkan ROG XREAL R1 dijangka dilancarkan secara global pada penggal pertama 2026. Peranti ini akan dipamerkan di reruai ASUS ROG di The Venetian serta lokasi pameran XREAL sempena CES 2026 di Las Vegas.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







