More

    CES 2026: ASUS pamer semua varian komputer Zenbook, ProArt dan banyak lagi

    Pada CES 2026, ASUS memperkenalkan barisan produk terbaharu di bawah visi Ubiquitous AI dan Incredible Possibilities dengan penekanan kepada penggunaan AI secara menyeluruh merangkumi Workspace AI, Creator AI dan Everyday AI. Bagi pengguna umum, ASUS mengumumkan barisan Zenbook AI baharu untuk 2026.

    Antara yang diketengahkan ialah ASUS Zenbook DUO yang menampilkan dua paparan OLED Lumina Pro bersaiz 14 inci dengan jurang engsel lebih kecil dan kadar segar semula berubah sehingga 144Hz. Komputer riba ini dikuasakan pemproses Intel Core Ultra X9 Series 3 dan menawarkan prestasi AI sehingga 50 TOPS membolehkan pemprosesan AI secara setempat.

    Zenbook DUO turut menerima Anugerah Inovasi CES 2026 dalam kategori Kecerdasan Buatan (AI). ASUS turut memperkenalkan Zenbook A16 dan Zenbook A14 yang menggunakan pemproses Snapdragon X2 Elite dengan prestasi NPU sehingga 80 TOPS. Kedua-dua model ini dikategorikan sebagai Copilot+ PC yang memfokuskan reka bentuk ringan, jangka hayat bateri panjang dan sokongan multitugas berasaskan AI untuk kegunaan profesional mudah alih.

    Dalam segmen pencipta kandungan, ASUS mengembangkan barisan ProArt melalui pelancaran ProArt GoPro Edition. Peranti ini menggunakan pemproses AMD Ryzen AI Max+ dan dioptimumkan untuk aliran kerja bersepadu GoPro termasuk penyuntingan masa nyata, peningkatan resolusi berasaskan AI dan pengurusan media awan menerusi ASUS StoryCube.

    Reka bentuk boleh tukar yang kompak serta langganan GoPro yang disertakan menjadikannya penyelesaian mudah alih semua dalam satu selain turut menerima Anugerah Inovasi CES 2026 dalam kategori Perkakasan dan Komponen Komputer. ASUS juga memperkenalkan ProArt PZ14 iaitu tablet pencipta paling berkuasa yang pernah ditawarkan.

    Ia dikuasakan pemproses Snapdragon X2 Elite, dilengkapi paparan OLED serta memenuhi piawaian ketahanan MIL-STD-810H dan direka untuk tugasan kreatif berasaskan AI. Untuk segmen perniagaan dan perusahaan, ASUS menampilkan ekosistem Workspace AI yang dipacu platform MyExpert.

    Penyelesaian AI bersepadu ini menggabungkan fungsi sembang, carian fail, bantuan penulisan dan alat mesyuarat bagi melancarkan aliran kerja harian dengan penekanan kepada keselamatan data merentasi persekitaran setempat dan awan. ASUS turut mengumumkan beberapa perkakasan baharu termasuk ExpertBook Ultra iaitu sebuah Copilot+ PC ringan untuk kegunaan perusahaan, selain NUC 16 Pro Mini PC dan ExpertCenter PN55.

    Sistem-sistem ini menyokong beban kerja AI secara setempat dengan daya pemprosesan tinggi dan sambungan lanjutan sesuai untuk aplikasi perniagaan, industri dan edge AI. Selain peranti individu, ASUS mempamerkan ekosistem AI yang lebih meluas merangkumi desktop, PC semua dalam satu, aksesori serta pemecut AI seperti UGen300 USB AI Accelerator sebagai sebahagian daripada strategi pengalaman AI hujung ke hujung.

    "
    "

    Untuk ketersediaan, ASUS belum mengumumkan sebarang tarikh pelancaran atau pasaran sasaran bagi produk-produk ini termasuk di Malaysia. Pelancaran tempatan dijangka mengambil sedikit masa sebelum dibawa masuk oleh ASUS Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan salah satu peranti yang ditawarkan ASUS ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Kaspersky dedah AI kini bantu penggodam serang lebih pantas

    Kaspersky memaklumkan bahawa ancaman siber kini semakin pantas dengan kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI) serta mewujudkan jurang visibiliti yang serius bagi organisasi...

    Game Boy Advance kembali? Ayaneo lancar konsol “gaming” retro baharu

    Ayaneo secara rasmi memperkenalkan konsol permainan tangan terbaharu mereka iaitu Konkr Pocket Advance menerusi sesi siaran langsung pengenalan produk syarikat. Peranti ini...

    PRO-NET mulakan pemasangan tempatan Proton e.MAS 7 PHEV di AHTV, Tanjung Malim

    PRO-NET secara rasmi memulakan pengeluaran tempatan (CKD) bagi model Proton e.MAS 7 PHEV di Kilang EV PROTON yang terletak di Automotive High...

    Hisense lancar projektor laser XR10, PX4PRO dan L9Q di Malaysia — Bermula RM23,999

    Hisense secara rasmi melancarkan siri paparan laser terbaharu mereka di Malaysia menerusi pengenalan Hisense RGB Triple Colour Laser Projector XR10, RGB Laser...

    Spotify Running Mode dilancar untuk pengguna iPhone, lagu ikut BPM dan jenis latihan

    Spotify secara rasmi melancarkan ciri Running Mode bagi memberikan pengalaman pendengaran muzik yang disesuaikan mengikut aktiviti larian pengguna. Ia ditawarkan khusus untuk...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured