Apple hari ini mengumumkan AirTag generasi baharu yang hadir dengan peningkatan pada julat penjejakan dan kebolehdengaran yang bertujuan memudahkan pengguna mengesan barangan peribadi melalui rangkaian Find My.
AirTag baharu ini menggunakan cip Ultra Wideband generasi kedua yang meningkatkan keupayaan Precision Finding sehingga 50 peratus lebih jauh berbanding model sebelumnya. Apple turut menambah baik sambungan Bluetooth serta memperkenalkan pembesar suara baharu yang menghasilkan bunyi lebih kuat bagi memudahkan proses pencarian dari jarak yang lebih jauh.


Buat pertama kali, ciri Precision Finding turut disokong secara langsung pada Apple Watch terpilih termasuk Apple Watch Series 9 dan Apple Watch Ultra 2 selain iPhone yang serasi. AirTag mengekalkan rekaan asal dan kekal serasi dengan aksesori sedia ada serta masih menggunakan bateri syiling CR2032 yang boleh diganti pengguna.
Di Malaysia, AirTag generasi baharu ditawarkan pada harga RM129 untuk satu unit manakala set empat unit dijual pada harga RM429. Apple turut menawarkan ukiran peribadi secara percuma untuk pembelian melalui laman web Apple dan aplikasi Apple Store. Produk ini akan tersedia melalui Apple Store rasmi serta pengedar sah Apple di Malaysia.

AirTag menekankan aspek privasi dengan data lokasi yang dienkripsi sepenuhnya dan dilengkapi ciri keselamatan bagi mengelakkan penjejakan tanpa kebenaran. Ia memerlukan peranti Apple yang menjalankan iOS 26 atau iPadOS 26 serta akaun iCloud aktif untuk berfungsi sepenuhnya. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






