Great Wall Motor (GWM) Malaysia baru sahaja melancarkan WEY G9 Hi4 PHEV iaitu sebuah MPV mewah plug-in hibrid (PHEV) yang dipasang secara tempatan (CKD). Model ini merupakan MPV PHEV mewah pertama dari China yang dipasang di Malaysia. WEY G9 Hi4 PHEV menggunakan sistem Hi4 PHEV yang menggabungkan enjin turbo dengan dua motor elektrik.
Ia menghasilkan 442 PS dan 642 Nm dengan pecutan 0–100 km/j dalam 5.7 saat serta dilengkapi sistem Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC). Dalam mod elektrik sepenuhnya, jarak pemanduan mencecah 170 km manakala jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 km. Penggunaan bahan api dicatatkan pada 6.2 liter bagi setiap 100 km apabila bateri berada pada tahap rendah.




MPV ini berukuran 5,050 mm panjang dengan jarak roda 3,085 mm dan dilengkapi tiga baris tempat duduk. Barisan kedua menggunakan tempat duduk kapten manakala barisan ketiga direka untuk penumpang dewasa. Tahap bunyi kabin direkodkan pada 63.4 dB pada kelajuan 120 km/j. Sistem audio 21 pembesar suara berkuasa 2,440 watt, 11 port pengecasan, output kuasa luaran 3.3 kW serta peti sejuk dan pemanas 12.5 liter turut disertakan.
Untuk keselamatan, struktur badan menggunakan 83.01% keluli berkekuatan tinggi dengan struktur bumbung mampu menahan tekanan sehingga 12 tan. Sistem bateri menjalani 89 ujian keselamatan dan kenderaan ini dilengkapi Tahap 2 ADAS dengan lebih 20 fungsi bantuan pemandu. Harga atas jalan ditetapkan pada RM 269,800.



Antara tawaran pemilikan termasuk 5 tahun penyelenggaraan percuma, 5 tahun data sambungan, pengecas dinding rumah, waranti kenderaan 6 tahun tanpa had perbatuan dan waranti sistem hibrid 8 tahun atau 180,000 km. WEY G9 Hi4 PHEV dipasang di Malaysia dan akan dieksport ke pasaran ASEAN dengan Thailand sebagai pasaran eksport pertama.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







