OpenAI telah memulakan fasa ujian ciri iklan baharu dalam platform ChatGPT. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menampung kos infrastruktur dan memperluas akses kepada ciri kecerdasan buatan (AI) tahap tinggi bagi pengguna pelan percuma.
Ujian ini melibatkan pengguna yang mendaftar di Amerika Syarikat khususnya bagi mereka yang menggunakan pelan percuma dan pelan langganan Go. Pelan berbayar lain seperti Plus, Pro, Business, Enterprise dan Education kekal tanpa paparan iklan.

Menurut OpenAI, iklan akan dipaparkan sebagai penempatan tajaan yang dilabel dengan jelas dan diasingkan secara visual daripada respons biasa bagi mengelakkan kekeliruan. Syarikat itu menegaskan bahawa jawapan yang dihasilkan oleh ChatGPT akan kekal bebas dan tidak dipengaruhi oleh pihak pengiklan.
Sistem pengiklanan ini berfungsi dengan memadankan iklan berdasarkan topik perbualan semasa, sejarah sembang terdahulu dan interaksi iklan sebelum ini. Walau bagaimanapun, OpenAI menyatakan bahawa pengiklan tidak akan mempunyai akses kepada kandungan perbualan individu atau butiran peribadi pengguna.

Hanya data prestasi agregat seperti jumlah tontonan dan klik akan dikongsi dengan pihak ketiga. Sebagai langkah keselamatan, OpenAI melarang paparan iklan pada topik sensitif termasuk kesihatan, politik dan kesihatan mental. Pengguna turut diberikan kawalan untuk menutup iklan, memberi maklum balas serta mengurus tetapan peribadi melalui ruang tetapan akaun.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: OpenAI







