Sebahagian pengguna Windows 11 dilaporkan mengalami masalah kestabilan sistem selepas memasang kemas kini keselamatan terbaharu daripada Microsoft. Aduan mula muncul satu hingga dua hari selepas kemas kini tersebut dilepaskan dengan pengguna melaporkan komputer mereka mengalami crash, skrin membeku serta restart secara tiba-tiba.
Kemas kini yang terlibat ialah KB5079473 iaitu kemas kini kumulatif Mac 2026 yang dikeluarkan pada 10 Mac untuk Windows 11 versi 24H2 dan 25H2. Tampalan tersebut menaik taraf sistem kepada build 26100.8037 dan 26200.8037 dengan fokus utama kepada pembaikan keselamatan termasuk kemas kini pengendalian sijil Secure Boot, peningkatan kebolehpercayaan carian File Explorer serta perubahan berkaitan WDAC COM allowlisting.
Namun, beberapa pengguna melaporkan sistem mereka menjadi tidak stabil selepas kemas kini dipasang. Antara masalah yang dikongsikan termasuk komputer crash berulang kali, skrin membeku sepenuhnya serta PC yang restart setiap 10 hingga 20 minit. Terdapat juga laporan aplikasi seperti Microsoft Office dan Microsoft Outlook gagal dibuka selepas pemasangan kemas kini.
Selain itu, sebahagian pengguna turut menemui ralat sistem seperti ATTEMPTED_WRITE_TO_READONLY_MEMORY (0xBE) serta kod ralat 0x800704b3. Dalam beberapa kes, masalah turut dilaporkan pada komputer riba Samsung Galaxy Book dan workstation Dell Precision, namun laporan ini masih bersifat terpencil buat masa ini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







