Apple secara mengejut mengumumkan AirPods Max 2 iaitu generasi kedua fon kepala premium yang hadir dengan peningkatan ketara daripada segi audio, pembatalan hingar dan ciri pintar. Ia dibina berasaskan cip Apple H2 chip yang meningkatkan keupayaan audio dan memperkenalkan beberapa fungsi pintar yang sebelum ini hanya tersedia pada model AirPods lain.
Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk Adaptive Audio, Conversation Awareness, Voice Isolation dan Live Translation. Active Noise Cancellation (ANC) pada AirPods Max 2 kini sehingga 1.5 kali lebih berkesan berbanding generasi sebelumnya yang dibantu oleh algoritma audio baharu serta sistem mikrofon yang dipertingkat.


Mod Transparency turut ditambah baik untuk memberikan pengalaman bunyi persekitaran yang lebih semula jadi. Untuk kualiti audio, AirPods Max 2 dilengkapi penguat julat dinamik tinggi yang menghasilkan bunyi lebih bersih dan seimbang. Teknologi Personalized Spatial Audio pula meningkatkan pengalaman pendengaran dengan pemisahan instrumen yang lebih jelas, bass lebih tepat serta keseimbangan frekuensi yang lebih baik.
Bagi kegunaan profesional, ia menyokong audio lossless 24-bit/48kHz melalui sambungan USB-C. AirPods Max 2 akan mula dibuka untuk tempahan pada 25 Mac sebelum jualan rasmi bermula awal bulan hadapan. Apple juga menawarkan lima pilihan warna iaitu Midnight, Starlight, Jingga, Ungu dan Biru. AirPods Max 2 dijangka tiba di Malaysia tidak lama lagi dengan harga permulaan RM2,299.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







