Samsung mengumumkan bahawa siri Samsung Galaxy S26 kini boleh berkongsi fail dengan peranti Apple menggunakan ciri Apple AirDrop melalui fungsi Quick Share. Kemas kini dilancarkan bermula di Korea Selatan sebelum diperluaskan secara berperingkat ke beberapa wilayah lain termasuk Asia Tenggara.
Pada peringkat awal, sokongan hanya tersedia untuk model dalam siri Galaxy S26 iaitu Samsung Galaxy S26, Samsung Galaxy S26 Plus dan Samsung Galaxy S26 Ultra. Walaupun dijangka akan diperluaskan kepada peranti Samsung lain pada masa akan datang, mereka belum mengumumkan senarai model tambahan atau jadual pelaksanaan seterusnya.

Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna perlu mengaktifkan pilihan perkongsian dengan peranti Apple melalui tetapan Quick Share pada telefon Galaxy S26. Langkahnya termasuk membuka menu Settings, memilih Connected Devices, pilih Quick Share dan aktifkan pilihan “Share with Apple devices”.
Integrasi silang platform ini turut dilihat pada peranti daripada Google melalui siri Google Pixel serta telefon pintar keluaran HONOR. Sambungan antara ekosistem dijangka membuka laluan kepada lebih banyak peranti Android untuk menyokong perkongsian fail dengan AirDrop pada masa akan datang.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung







