Samsung kini memperluaskan pelayar webnya ke platform komputer dengan melancarkan versi Samsung Browser untuk Windows. Ia menandakan perubahan dalam strategi perisian Samsung dengan membawa pengalaman pelayaran web merentasi telefon pintar dan PC dalam satu ekosistem yang lebih terhubung.
Dengan pelancaran ini, pengguna boleh menyambung sesi pelayaran antara peranti mudah alih dan komputer tanpa gangguan. Selain penyelarasan penanda buku dan sejarah pelayaran, pengguna juga boleh meneruskan laman web yang sedang dibuka pada telefon terus di PC. Integrasi dengan Samsung Pass turut membolehkan pengisian automatik maklumat log masuk dan data peribadi secara selamat merentasi peranti.

Samsung turut memperkenalkan ciri agentic AI yang dibangunkan bersama Perplexity AI. Berbeza dengan pembantu AI biasa, sistem ini direka untuk memahami konteks halaman web, niat pengguna dan aktiviti merentasi beberapa tab pelayar. Melaluinya, pengguna boleh meminta bantuan seperti menjana pelan perjalanan berdasarkan kandungan yang sedang dipaparkan dengan AI menyusun maklumat tersebut secara automatik.
Selain itu, agentic AI juga boleh membantu mengurus tugasan dalam pelayar seperti menavigasi tab, menganalisis sejarah pelayaran serta melaksanakan tindakan tertentu tanpa perlu menukar aplikasi. Terakhir, Samsung Browser menjadikan pelayar web sebagai hab produktiviti dan aliran kerja berasaskan AI merentasi peranti.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







