OpenAI dilaporkan sedang membangunkan sebuah telefon pintar berasaskan konsep “agentic AI” dengan sasaran pelancaran sekitar 2027 dan berpotensi mengubah landskap penggunaan peranti mudah alih secara menyeluruh. Berbeza dengan telefon pintar konvensional, ia dijangka tidak lagi bergantung kepada ekosistem aplikasi tradisional.
Sebaliknya, pengguna hanya perlu memberikan arahan dan sistem AI akan melaksanakan tugasan secara automatik merentas pelbagai fungsi. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa OpenAI sedang bekerjasama dengan pengeluar cip seperti MediaTek dan Qualcomm bagi membangunkan cip tersuai yang menggabungkan keupayaan pemprosesan AI secara on-device serta sokongan awan untuk tugasan lebih kompleks.
Peranti dijangka hadir dengan komponen kelas mercu termasuk memori generasi baharu dan unit pemproses neural (NPU) berganda bagi menyokong operasi AI serentak seperti pemprosesan visual dan bahasa. Ia dilihat selari dengan peralihan industri ke arah AI agent yang bukan sekadar memberi respons, tetapi mampu melaksanakan tugasan secara autonomi.
Jika direalisasikan, pendekatan ini berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada aplikasi seperti pemesejan, navigasi dan perkhidmatan e-hailing. Namun, kejayaannya masih bergantung kepada tahap penerimaan pengguna serta keupayaan OpenAI membina ekosistem yang stabil dan praktikal.
Sekiranya berjaya, telefon pintar berasaskan agentic AI berpotensi memberi tekanan besar kepada pemain utama industri termasuk Apple dan Google serta membuka fasa baharu dalam evolusi peranti mudah alih. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Android Headlines







