ASUS menerusi jenama gaming ROG secara rasmi mengumumkan ketibaan komputer riba gaming premium baharu iaitu ROG Zephyrus G14 2026 dan ROG Zephyrus G16 2026 untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua model tampil dengan siri GPU NVIDIA RTX 50 generasi baharu, paparan OLED lebih cerah serta cip AI terbaharu Intel dan AMD yang kini menyokong pengalaman Copilot+ PC.
ROG Zephyrus G14 dan G16 dijana cip Intel Core Ultra 9 386H manakala model terpilih turut ditawarkan dengan AMD Ryzen AI 9 465. Cipnya mampu menawarkan sehingga 50 TOPS prestasi NPU bagi pemprosesan AI. Zephyrus G14 menyokong sehingga NVIDIA GeForce RTX 5080 Laptop GPU manakala Zephyrus G16 pula ditawarkan sehingga RTX 5090 Laptop GPU berasaskan seni bina Blackwell terbaru NVIDIA.

Kedua-dua komputer riba menyokong DLSS 4 dan Frame Generation untuk kadar bingkai lebih lancar ketika memainkan permainan AAA moden. Untuk paparan, Zephyrus G14 hadir dengan panel OLED 3K 120Hz sementara Zephyrus G16 menggunakan paparan OLED 2.5K 240Hz yang lebih besar. Kedua-duanya menyokong NVIDIA G-SYNC, liputan warna 100% DCI-P3, VESA DisplayHDR True Black 1000 dan masa tindak balas sepantas 0.2ms.
ASUS juga menaik taraf teknologi ROG Nebula HDR OLED yang kini mampu mencapai kecerahan puncak sehingga 1100 nits. Ia menampilkan ketepatan warna Delta E bawah 1 serta perlindungan Corning Gorilla Glass dengan pantulan yang dikurangkan. Bagi sistem penyejukan, Zephyrus G14 menggunakan rekaan quad-heatpipe manakala Zephyrus G16 dilengkapi vapor chamber.

Kedua-dua model mengekalkan teknologi Tri-Fan Cooling bersama sistem aliran udara baharu bagi memastikan suhu lebih terkawal ketika gaming dan kerja AI berat. Walaupun membawa perkakasan berprestasi tinggi, Zephyrus G14 hanya seberat sekitar 1.5kg manakala Zephyrus G16 bermula sekitar 1.85kg. Kedua-dua komputer riba menggunakan badan aluminium CNC dalam pilihan warna Platinum White dan Eclipse Grey.
Selain itu, ASUS turut menaik taraf sistem Slash Lighting pada bahagian penutup komputer riba daripada tujuh zon kepada 35 zon untuk kesan pencahayaan yang lebih fleksibel. Untuk sambungan, kedua-dua model hadir dengan USB-C Thunderbolt 4, HDMI 2.1, pembaca kad SD atau microSD, WiFi 7, Bluetooth 6.0 serta sistem audio enam pembesar suara.

ROG Zephyrus G14 dan G16 (2026) akan mula dijual di Malaysia bermula 24 Mei 2026, namun ASUS akan membuka jualan awal menerusi ASUS e-Store bermula 17 Mei bersama hadiah bernilai sehingga RM1,437 selagi stok masih ada. Untuk harga, ROG Zephyrus G14 bermula RM13,999 bagi model Ryzen AI 9 bersama RTX 5060 dan meningkat sehingga RM26,999 untuk varian RTX 5080.
Sementara itu, ROG Zephyrus G16 pula bermula RM16,999 untuk model RTX 5060 dan mencecah RM30,999 bagi konfigurasi tertinggi dengan RTX 5090 Laptop GPU. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti yang ditawarkan dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







