Infinix melancarkan peranti kelas permulaan baharu iaitu Infinix SMART 20e untuk pasaran Malaysia. Peranti memfokuskan kepada penggunaan harian dan hiburan pada julat harga mampu milik. Infinix SMART 20e dilengkapi skrin berukuran 6.75 inci dengan kadar segar semula sehingga 120Hz serta kecerahan puncak 700 nits.
Bagi sistem audio, ia menyokong ciri pemprosesan bunyi yang mampu meningkatkan kelantangan pembesar suara sehingga 200 peratus. Peranti dikuasakan oleh pemproses Unisoc T7250 bersama memori RAM 4GB. Ruang simpanan dalaman ditawarkan dalam pilihan 64GB dan 128GB serta menyokong kad kembangan storan sehingga 2TB.

Infinix SMART 20e menerima penarafan IP64 bagi ketahanan daripada debu dan percikan air. Untuk keupayaan fotografi, ia menggunakan kamera belakang 8MP dan kamera hadapan 5MP yang ditempatkan pada rekaan lubang skrin. Peranti ini disokong bateri berkapasiti 5,000mAh, sambungan rangkaian 4.5G dan sokongan fungsi NFC.
Infinix SMART 20e ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Deep Cherry, Hush Blue, Silver Dance dan Night Pulse. Harga jualan ditetapkan pada RM499 bagi varian 4/64GB dan RM549 bagi varian 4/128GB. Pembelian boleh dibuat menerusi Kedai Rasmi Infinix di Shopee, TikTok Shop serta Kedai Brand Infinix di seluruh negara mulai 9 Oktober.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







