OpenAI secara rasminya melangkah ke pasaran perkakasan dengan pengenalan Codex Micro iaitu sebuah pad kekunci makro boleh atur cara. Peranti ini dibangunkan melalui kerjasama dengan pengeluar papan kekunci Work Louder dan disasarkan khusus untuk pengguna platform pengekodan Codex.
Ia dilengkapi dengan 13 kekunci mekanikal termasuk enam kekunci ejen berlampu yang berfungsi memaparkan status ejen AI yang sedang aktif melalui warna. Pengguna boleh menetapkan kekunci arahan bagi fungsi seperti menerima atau menolak cadangan kod, memulakan perbualan baharu, input suara serta bertukar antara tugasan.

Selain kekunci utama, peranti turut menyertakan tombol putar untuk melaraskan usaha penaakulan AI serta kayu ria yang boleh dipetakan bagi aliran kerja seperti nyahpepijat atau pemfaktoran semula kod. Codex Micro didatangkan dengan 32 penutup kekunci yang boleh ditukar ganti untuk membolehkan pengguna menyesuaikan pintasan mengikut keperluan kerja masing-masing.
Peranti ini menyokong sambungan berwayar USB-C dan wayarles Bluetooth serta serasi digunakan pada sistem operasi Windows dan macOS. Menurut OpenAI, ia dicipta untuk pengguna yang banyak menghabiskan masa bekerja dengan platform Codex terutamanya selepas ia diperluaskan fungsinya kepada alat produktiviti AI yang lebih meluas.


Codex Micro kini ditawarkan pada harga $230 (~RM936) dan boleh ditempah dalam kuantiti terhad melalui OpenAI dan Work Louder. Ini merupakan produk perkakasan komersial pertama daripada OpenAI dan ia berasingan daripada peranti AI pengguna yang dilaporkan masih dalam fasa pembangunan.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Gizmochina







