Apple dilapor sedang membangunkan iPad mini generasi baharu yang dijangka menjadi tablet pertama mereka dengan sokongan penarafan kalis air. Menurut laporan daripada Mark Gurman menerusi Bloomberg, langkah ini bakal memberikan perlindungan tambahan kepada pengguna ketika menggunakan peranti berhampiran air atau dalam persekitaran lembap.
Selain menerima ciri baharu kalis air, iPad mini dilapor akan dilengkapi dengan panel skrin OLED bagi menggantikan paparan LCD sedia ada. Penggunaan skrin OLED ini dijangka menawarkan kontras yang lebih tinggi, warna yang lebih jelas serta paparan hitam yang lebih pekat.
Bagi merealisasikan reka bentuk kalis air, Apple didakwa sedang menguji teknologi audio berasaskan getaran skrin. Sistem ini membolehkan paparan peranti menghasilkan bunyi secara terus tanpa memerlukan lubang pembesar suara fizikal konvensional untuk mengurangkan bukaan luaran pada badan tablet.
Selain perubahan reka bentuk dan paparan, peranti juga dijangka dikuasakan oleh pemproses baharu yang lebih pantas untuk menyokong prestasi tugasan pelbagai, permainan video dan aplikasi kreatif. Apple dijangka mengumumkan iPad mini baharu ini pada bulan Oktober, kira-kira sebulan selepas pelancaran siri iPhone 18.
Walau bagaimanapun, Apple belum membuat sebarang pengesahan rasmi mengenai spesifikasi atau tarikh pelancaran peranti berkenaan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: MacRumors







