Nothing dilapor bakal melancarkan jam tangan pintar pertama menjelang September ini. Maklumat tertiris mendakwa peranti berkenaan akan ditawarkan pada harga bawah $300 (~RM1,226).
Daripada segi reka bentuk, jam tangan pintar ini dijangka kekal membawakan identiti utama Nothing melalui elemen lutsinar dan gaya minimalis seperti pada siri telefon pintar serta fon telinganya. Langkah ini bakal membezakannya daripada peranti boleh pakai sedia ada di pasaran.

Walaupun spesifikasi teknikal rasmi belum diumumkan, ia dijangka menawarkan integrasi perisian yang lebih mendalam dengan ekosistem Nothing berbanding peranti boleh pakai sub-jenama CMF. Sebelum ini, Nothing pernah menawarkan jam tangan pintar menerusi jenama CMF pada harga lebih murah.
Sasaran harga bawah $300 meletakkan peranti ini dalam kategori peranti boleh pakai pertengahan hingga premium untuk bersaing dengan tawaran sedia ada di pasaran. Menurut maklumat yang sama, pelancaran awal jam tangan pintar Nothing ini hanya akan melibatkan beberapa pasaran terpilih sebelum dikembangkan ke peringkat global.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: X







