RHB Bank Berhad secara rasmi melancarkan RHB Pay yang merupakan gerbang pembayaran dalam talian bersatu pertama yang dibangunkan, dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh sebuah bank di Malaysia. Platform ini direka khusus untuk perniagaan bersaiz sederhana, komersial, korporat dan institusi berkaitan kerajaan bagi menerima pelbagai jenis pembayaran digital.
Melalui satu integrasi tunggal, platform ini membolehkan peniaga menerima bayaran menerusi kad kredit dan debit, FPX serta DuitNow Pay. Semua dana daripada transaksi pengguna akan terus dimasukkan ke dalam akaun bank RHB milik peniaga berkenaan secara terus tanpa perlu melalui penyedia pihak ketiga.
RHB Pay turut mengintegrasikan keupayaan kecerdasan buatan (AI) terutamanya untuk kegunaan automasi rekonsiliasi atau penyelarasan penyata kewangan. Ciri ini membantu peniaga mengurangkan proses manual, meningkatkan keterlihatan aliran tunai secara masa nyata dan memastikan penyelesaian dana berlaku dengan lebih pantas.
Sistem keselamatan platform disokong penuh oleh infrastruktur perbankan, piawaian tadbir urus dan pengawasan kawal selia RHB sendiri. Selain itu, penggunaan infrastruktur Payments Network Malaysia (PayNet) turut membolehkan transaksi FPX dan DuitNow Pay diproses secara selamat. Fasa kedua pembangunan RHB Pay dijangka diluncurkan pada suku keempat tahun 2026.
Fasa lanjutan ini bakal menambah sokongan kaedah pembayaran baharu termasuk dompet digital, pembayaran kod QR, Direct Debit dan Auto Debit. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: RHB







