Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan aplikasi telefon pintar MyUBAT untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan pendaftaran serta pengambilan bekalan ubat susulan pesakit dari fasiliti kesihatan KKM. Aplikasi ini turut membolehkan pesakit memantau dan menguruskan temu janji Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi secara terus dari peranti.
Aplikasi MyUBAT menawarkan dua perkhidmatan utama iaitu Sistem Temu Janji dan Ubat Melalui Pos (UMP). Menerusi Sistem Temu Janji, pesakit boleh mengambil bekalan ubat susulan di fasiliti kesihatan pada tarikh yang telah dipersetujui tanpa perlu beratur panjang kerana bekalan ubat disediakan lebih awal.
Manakala perkhidmatan UMP membolehkan bekalan ubat dihantar terus ke lokasi pilihan pesakit menggunakan syarikat penghantaran dengan bayaran tunai semasa penerimaan. Aplikasi ini menyokong pelbagai fungsi tambahan termasuk kebolehan menyemak status bekalan ubat, menyemak tarikh temu janji dan meminda tarikh temu janji jika perlu.
Bagi membuat permohonan, pesakit perlu memuat turun aplikasi, melengkapkan pendaftaran profil dan memilih jenis perkhidmatan yang diperlukan. Permohonan memerlukan pesakit memasukkan tarikh temu janji klinik serta memuat naik gambar preskripsi atau kad temu janji. Proses pengesahan permohonan oleh pihak farmasi mengambil masa antara satu hingga tiga hari bekerja.
Bagi perkhidmatan Sistem Temu Janji, pesakit hanya perlu mengimbas kod QR di kaunter farmasi pada tarikh yang ditetapkan dan mengesahkan penerimaan ubat di dalam aplikasi. Bagi perkhidmatan UMP, nombor jejak (tracking number) dan status penghantaran akan dipaparkan sebaik sahaja ubat diposkan.
Aplikasi MyUBAT boleh dimuat turun menerusi platform Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery. Pendaftaran perkhidmatan ini turut boleh dilakukan secara terus di kaunter farmasi fasiliti KKM berkenaan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







