HONOR melancarkan siri telefon pintar mercu terbaharu di China yang merangkumi tiga model iaitu HONOR Magic9, Magic9 Super Edition dan Magic9 Pro Max. Pembaharuan utama siri ini menyaksikan pengenalan sistem kamera yang dibangunkan bersama syarikat kamera sinema ARRI serta penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 8 Elite.
Model varian tertinggi, HONOR Magic9 Pro Max, dilengkapi dwi kamera 200MP ARRI yang terdiri daripada sensor utama 1/1.28 inci bersama penstabilan tahap gimbal CIPA 8.0 serta sensor telefoto 1/1.4 inci. Peranti disokong oleh cip pemprosesan imej tersendiri HONOR Drive H1 untuk pemprosesan RAW, mod rakaman ARRI LogC3 dan 87 pilihan pratetap warna ARRI Looks.

Bagi spesifikasi paparan, HONOR Magic9 Pro Max menggunakan skrin OLED 6.8 inci yang menyokong kadar segar semula adaptif 1Hz hingga 120Hz, kecerahan puncak sehingga 10,000 nits dan pemalapan PWM 4320Hz. Model HONOR Magic9 pula tampil dalam saiz lebih padat dengan skrin 6.37 inci tetapi kekal membawakan persediaan dwi kamera 200MP ARRI.
Varian HONOR Magic9 Super Edition tidak disertakan dengan penjenamaan ARRI, sebaliknya menggunakan kamera utama 200MP, telefoto 50MP dan sudut lebar 12MP. Namun, peranti ini dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 11,000mAh, sistem penyejukan aktif kipas mikro Dongfeng Turbo 30,000 RPM dan keupayaan navi luar bangunan melebihi 20 jam.

Bagi kapasiti bateri model lain, HONOR Magic9 Pro Max dimuatkan dengan bateri silikon-karbon 8,800mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 100W serta pengecasan tanpa wayar 80W. Ketiga-tiga model peranti turut menerima perlindungan ketahanan air dan debu tahap IP68, IP69 dan IP69K selain sistem operasi MagicOS 11 berasaskan Android.
Siri HONOR Magic9 kini mula dijual di pasaran China pada harga bermula 4,499 yuan (~RM2,737) untuk Magic9 Super Edition, 4,999 yuan (~RM3,042) untuk Magic9 dan 6,499 yuan (~RM3,954) bagi model Magic9 Pro Max. Pelancaran rasmi untuk pasaran antarabangsa belum diumumkan secara rasmi oleh HONOR.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







