Samsung melancarkan siri tablet mercu terbaharunya iaitu Galaxy Tab S12+ dan Galaxy Tab S12 Ultra manakala model asas Galaxy Tab S12 ditangguhkan pengumumannya. Kedua-dua tablet dijadualkan mula dijual secara global pada 7 Oktober ini. Galaxy Tab S12 Ultra tampil sebagai tablet ternipis Samsung setakat ini dengan ketebalan 5.1mm dan berat bermula 692g.
Peranti dilengkapi skrin Dynamic AMOLED 2X bersaiz 14.6 inci dengan resolusi 2960 x 1848 piksel. Galaxy Tab S12+ pula bersaiz sedikit kecil dengan skrin 12.6 inci bertetapan resolusi 2800 x 1752 piksel, setebal 5.3mm serta berat bermula 553g. Kedua-dua skrin paparan menyokong kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak sehingga 1,600 nits, sokongan S Pen tanpa fungsi Bluetooth dan sistem empat pembesar suara berserta penarafan kalis air dan debu IP68.


Untuk bahagian dalaman, kedua-dua dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 9500 yang dipadankan dengan sistem penyejukan kebuk wap 3D baharu. Daripada segi perisian, peranti menjalankan One UI 9 berasaskan Android 17 dan disertakan akses percubaan enam bulan untuk Google AI Pro. Galaxy Tab S12 Ultra dibekalkan bateri 11,600mAh manakala Galaxy Tab S12+ membawa bateri 10,600mAh dengan kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 45W.
Kelengkapan lain merangkumi sokongan dwi-SIM melalui SIM fizikal dan eSIM, pengimbas cap jari pada skrin, slot kad microSD sehingga 2TB serta kamera hadapan ultra-lebar 12MP. Bagi pilihan sambungan, model Ultra menyokong Wi-Fi 7 manakala model Plus menggunakan Wi-Fi 6E bersama ketersambungan Bluetooth 6.0 dan rangkaian 5G.


Galaxy Tab S12 Ultra ditawarkan pada harga bermula $1,399 (~RM5,890) untuk varian 12/256GB dan hadir sehingga pilihan 16/1TB. Galaxy Tab S12+ pula dijual pada harga bermula $1,199 (~RM5,050) untuk varian 12/256GB dengan pilihan warna Gray dan Silver. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Samsung






