Sub-jenama Nothing, CMF, melancarkan dua model fon telinga baharu di Malaysia iaitu CMF Clip Pro yang dijual pada harga RM359 dan CMF Buds Neo pada harga RM129. CMF Clip Pro merupakan fon telinga jenis open-ear pertama jenama ini yang menggunakan rekaan 3-point Clip dengan teras dawai titanium elastik pada bahagian jambatan berbentuk C.
Peranti dilengkapi pemacu dinamik 10.8mm, sokongan audio codec LDAC, penarafan Hi-Res Audio Wireless dan kalis air serta debu IP54. Ia menggunakan sistem empat mikrafon bersama unit VPU dan Clear Voice Technology untuk panggilan suara. Bekas pengecasnya mempunyai kawalan fizikal Smart Dial untuk pelarasan kelajuan audio dan panggilan.

Ia menawarkan ketahanan bateri sehingga 10 jam bagi sekali pengecasan dan sehingga 32.5 jam bersama bekas pengecas. CMF Buds Neo pula hadir dengan rekaan in-ear konvensional yang dijana pemacu dinamik 12.4mm berserta diafragma PET bersalut titanium. Peranti ini menyokong pembatalan hingar aktif (ANC) sehingga 35dB dengan tiga tahap pelarasan, mod persekitaran adaptif serta audio ruang statik.
Ia melepasi penarafan IP54 dan menggunakan sistem empat mikrafon untuk panggilan. Dengan penutupan ANC, baterinya mampu bertahan sehingga 11 jam secara kendiri dan mencapai 52 jam penggunaan keseluruhan bersama bekas pengecas. Model ini turut menyokong Bluetooth 6.0, sambungan dua peranti serentak, Google Fast Pair dan mod kependalaman rendah 120ms melalui aplikasi Nothing X.

Kedua-dua fon telinga ini sudah boleh didapati secara rasmi melalui laman web rasmi Nothing, kedai atas talian Shopee, Lazada, TikTok Shop, Nothing Image Store serta pengedar sah seperti TMT dan Urban Republic. CMF Clip Pro ditawarkan dalam pilihan warna Dark Grey, Light Grey dan Coral manakala CMF Buds Neo hadir dengan pilihan warna Black, White dan Dark Blue.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







