Sony memang terkenal dengan menghasilkan pelbagai kelengkapan elektronik yang bermutu tinggi, daripada konsol PlayStation 5 hinggalah telefon pintar Xperia. Kini produk terbaru daripada syarikat Jepun itu menampilkan fungsi yang agak unik iaitu sebuah penghawa dingin kecil yang boleh dipakai dalam baju anda.
Produk kecil yang bernama Reon Pocket ini adalah sebuah alat penyejuk yang boleh dipakai di belakang anda. Produk ini ditujukan untuk menyejukkan badan pengguna terutamanya apabila berada dalam cuaca yang panas seperti sewaktu musim panas di Jepun.
Reon Pocket ini sebenarnya adalah sebuah kempen yang telah diperkenalkan dalam Kickstarter pada tahun lepas, sempena Olimpik Tokyo 2020. Walaupun temasya sukan itu sudah ditangguhkan, produk ini masih diteruskan dan dijual pada harga 13,000 yen (~RM524) melalui laman web Sony Japan atau Amazon Japan.
Sony turut menjual T-shirt khas berharga 1,800 yen (~RM37) yang mempunyai ruang khas untuk Reon Pocket. Produk tersebut dilengkapi bateri lithium-ion yang mempunyai hayat selama 2.5 jam dan boleh dicas menggunakan USB-C. Ia juga boleh berhubung melalui Bluetooth dengan aplikasi khas yang boleh dipasang dalam peranti Android atau iOS. Setakat ini Sony tidak mempunyai perancangan untuk memasarkan produk ini di luar Jepun.

Adakah anda berminat dengan produk ini, terutamanya dengan cuaca Malaysia yang panas sepanjang tahun? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.







