Terkini, jenama LG telah mengumumkan secara rasmi tiga telefon pintar kelas permulaannya; LG K62, LG K52 dan LG K42. Peranti-peranti ini mempunyai beberapa spesifikasi yang berbeza, dan ada juga spesifikasi yang sama.
Kesemua siri K terbaru ini hadir dengan reka bentuk tersendiri. LG K65 dan K52 hadir dengan rekaan corak optikal unik dan sudahan pusam (matte) yang mengurangkan kesan cap jari. LG K42 pula hadir dengan rekaan corak gelombang yang boleh bertukar warna dengan lapisan UV.



Ketiga-tiga peranti ini hadir dengan paparan 6.6 inci HD+ (720p), bateri 4000mAh dan tetapan kamera quad. K52 dan K62 dijana cipset Helio P35 manakala K42 dijana cipset Helio P22. Dari segi RAM, K52 dan K62 dilengkapi RAM 4GB manakala K42 RAM 3GB.
Dari segi kamera, K52 dan K62 dilengkapi kamera quad 48MP + 5MP (ultra lebar) + 2MP (makro) + 2 MP (kedalaman). K42 pula hadir dengan kamera 13MP dengan 3 lensa yang sama seperti K52 dan K62. Namun, K62 mempunyai kamera swafoto 28MP, K52 dengan kamera hadapan 13MP, manakala K42 mempunyai kamera swafoto 8MP.
Setakat ini, LG masih tidak mengumumkan harga rasminya dan kami juga tidak mendapat maklumat tentang keberadaan peranti siri K baharu ini di pasaran Malaysia. Namun, adakah pengguna di Malaysia akan membeli peranti dari jenama LG? Kongsikan pendapat anda di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.






